Sunday, April 17, 2011

Roboh



SUNGAI CHOH - Lebih 30 penempatan haram didirikan di atas rizab sungai, di sebalik tembok sebuah kilang pengeluar konkrit di sini dirobohkan pihak penguat kuasa dalam operasi bersepadu semalam.
Operasi bersepadu melibatkan enam agensi termasuk pihak polis itu bermula jam 10 pagi dan berakhir lewat petang semalam.
Pegawai Daerah, Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, penempatan haram itu dibina daripada kabin dan sebahagiannya kayu yang membentuk rumah kongsi didiami kira-kira 500 pekerja asing.
Menurutnya, aduan awal diterima daripada Jabatan Perairan dan Saliran (JPS) yang mengalami kesukaran dalam melakukan kerja pembersihan sungai di sepanjang Sungai Choh hingga ke Sungai Garing, Rawang kerana terdapat sampah berupa kayu dan bahan binaan.
“Menurut JPS, apabila melakukan pemantauan mereka mendapati berlaku pencemaran sisa buangan industri berdekatan kawasan ini.
“Mereka juga mendapati wujud beberapa kediaman didirikan atas rizab sungai milik pekerja kilang yang turut menyumbang kepada pencemaran sungai.
“Bertindak atas maklumat itu, kita datang menyiasat dan jelas tindakan mendirikan penempatan di kawasan ini menjadi satu kesalahan,” katanya yang ditemui ketika meninjau operasi meroboh berkenaan.
Operasi itu disertai 110 penguat kuasa daripada Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor (PDHS), Majlis Daerah Hulu Selangor, Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah, JPS Daerah, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Polis Diraja Malaysia.
Turut serta, Pegawai Yang Menjaga, JPS Hulu Selangor, Abdul Rahman, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Ketua Trafik Daerah, Asisten Superintendan Mohd Taib Songoh dan Ketua Polis Balai Serendah, Inspektor Syamsul Bahrain Ahmad.
Nor Hisham berkata, pihak kilang terbabit diberi notis mengosongkan kawasan dan meroboh yang tamat pada 13 April lalu.
Menurutnya, keingkaran mematuhi notis tersebut membawa kepada tindakan meroboh yang dijalankan semalam.
“Tindakan ini bagi mengelak masalah yang lebih buruk seperti banjir kilat kerana berlaku pembuangan sampah tidak terkawal di kawasan ini.
“Malah, penempatan mereka juga tidak selamat dan mampu mengundang kesan lebih buruk,” katanya.
Menurut Nor Hisham, penempatan tersebut bukan saja didiami pekerja kilang bersebelahan, malah jambatan yang dibina merintangi sungai dan menghubungkan kawasan Kampung Mohd Taib membuktikan ada pekerja lain yang tinggal di kawasan itu.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan penghuni kabin di situ mewujudkan kedai makan untuk keperluan mereka.
Operasi meroboh dilakukan menggunakan tiga jentolak milik JPS dan JKR. Kerja-kerja pembersihan sepenuhnya kawasan itu dikatakan mengambil masa dua hari.

No comments:

Post a Comment