Saturday, May 21, 2011

8 kapal Libya dibom

TRIPOLI: Nato semalam berkata, pesawat tenteranya mengebom lapan kapal Tentera Laut Libya sejurus selepas Presiden Barack Obama meramalkan Muammar Gaddafi “pasti” berundur atau dipaksa berundur.
Ketika kerajaan Gaddafi menganggap kenyataan Obama satu khayalan, pihak berkuasa juga menafikan laporan isteri dan anak pemimpin Libya itu melarikan diri ke Tunisia.

Tripoli juga menolak dakwaan Menteri Minyak Libya, Shukri Ghanem, berpaling tadah.

Menurut Nato, tentera Bersekutu terus melakukan serangan udara terhadap pasukan bersenjata rejim Gaddafi, termasuk di Pelabuhan Tripoli, al-Khums dan Sirte.

“Disebabkan peningkatan penggunaan kapal oleh rejim Gaddafi, Nato tiada pilihan kecuali menyerangnya bagi melindungi orang awam Libya dan tentera Nato di laut,” kata kenyataan dikeluarkan itu, semalam.

Sementara itu, letupan baru didengar di ibu negara Libya semalam, beberapa jam selepas serangan udara disasarkan ke atas pelabuhan bandar raya itu.


Menurut pegawai Nato, sasaran serangan itu adalah kelengkapan tentera tetapi jurucakap kerajaan Libya, Mussa Ibrahim, mendakwa tindakan itu dibuat bagi menakut-nakutkan firma perkapalan antarabangsa supaya menjauhi negara itu.

“Apa pun kapal yang diserang, ia adalah mesej jelas daripada Nato kepada syarikat maritim antarabangsa supaya jangan menghantar sebarang kapal ke Libya,” katanya. - AFP

No comments:

Post a Comment