Ketua Polis wilayah, Felicisimo Khu berkata, kumpulan Abu Sayyaf yang menculik rakyat Malaysia itu pada 7 Mei lalu dilapor meminta wang tebusan tersebut dari seorang pegawai konsul Malaysia di negara ini.
Ahli perniagaan cicak tokek berusia 38 tahun itu sebelum ini dikenal pasti pihak berkuasa Filipina sebagai Mohammad Nasaruddin Bensaidin dan dia diculik sekumpulan 10 lelaki bersenjata berhampiran bandar Indanan di Pulau Jolo, selatan negara ini.
Khu berkata, perkara itu dimaklumkan pegawai konsul Malaysia tersebut kepada polis Indanan hari ini.
Katanya, tebusan kini ditempatkan di sebuah kampung berhampiran yang tidak dinyatakan lokasinya.
Tambah beliau, nasib rakyat Malaysia yang berasal dari Sungai Buloh, Selangor itu juga masih belum diketahui.
Jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Randolph Cabangbang sebelum ini berkata, Mohammad Nazaruddin diculik selepas berada di pulau itu selama sebulan.
Ditubuhkan pada 1990-an dengan wang pembiayaan dari jaringan al-Qaeda pimpinan Osama bin Laden, Abu Sayyaf mengaku bertanggungjawab di atas serangan-serangan keganasan Filipina termasuk pengeboman feri 2004 yang mengorbankan lebih 100 nyawa.
Kumpulan militan itu juga dipertanggungjawabkan di atas beberapa kes penculikan melibatkan rakyat asing, ahli perniagaan tempatan dan mubaligh bagi mendapatkan wang tebusan. – AFP
No comments:
Post a Comment