KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan Singapura, Abdul Majid Kunji Mohamad yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Mei lalu selepas dikesan terlibat dengan kegiatan militan, diserahkan kepada pihak berkuasa Singapura kelmarin.
Satu sumber keselamatan berkata, proses penyerahan Abdul Majid, 60, yang ditahan sejak dua minggu lalu itu dibuat pada pukul 8.30 malam di kawasan Woodlands, Singapura.
“Abdul Majid, orang dikehendaki di republik itu untuk siasatan lanjut berhubung kegiatan militan,” kata sumber itu kepada Kosmo! di sini semalam.
Menurut sumber itu lagi, siasatan mendapati Abdul Majid turut memiliki sebuah syarikat membuat komponen mortar di Singapura.
Komponen mortar tersebut dibekalkan kepada Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang bertapak di selatan Filipina.
Malah kaitan Abdul Majid dengan MILF diperkukuhkan lagi apabila dia yang mempunyai beberapa rangkaian perniagaan seperti tekstil dan ejen pelancongan di ibu negara, pernah melawat kem tentera MILF di Mindanao, Filipina pada akhir tahun 90-an.
“Ketika ditahan polis pada 6 Mei lalu di pejabatnya di Setiawangsa, Abdul Majid mengaku pernah menyalurkan sejumlah besar wang kepada kumpulan militan tersebut.
“Kita percaya Abdul Majid menyerahkan beberapa kali wang (dana) kepada kumpulan militan terbabit sejak akhir tahun 90-an hingga awal tahun 2000,” kata sumber keselamatan itu.
No comments:
Post a Comment