JAKARTA 11 Mei – Badan pemantau perbelanjaan bajet negara ini hari ini menerbitkan satu laporan menggemparkan yang menunjukkan anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia secara keseluruhan membelanjakan 151 bilion rupiah (RM54 juta) untuk bil telefon setiap tahun.
Dalam satu siaran media hari ini, Forum Transpirasi Bajet Indonesia (Fitra) menyatakan anggota DPR diberi peruntukan sangat tinggi untuk penggunaan telefon bimbit.Ia menyatakan anggota DPR menerima 14 juta rupiah (RM4,896) sebulan atau 168 juta rupiah (RM58,726.) setahun untuk kredit telefon dan tambahan 102 juta rupiah (RM35,663) setahun ketika waktu sidang berehat.
‘‘Maka, setiap ahli Parlimen menerima 270 juta rupiah (RM94,463) setiap tahun untuk kredit telefon sahaja,’’ kata wakil Fitra, Ucok Sky Khadafi.
Secara keseluruhan, Indonesia memperuntukan sebanyak 151 bilion rupiah (RM52.806 juta) untuk perbelanjaan telefon ahli Parlimen.
‘‘Ia merupakan satu pembaziran peruntukan negara. Ia terlalu banyak. Pada hakikatnya, ia mungkin dijadikan perbelanjaan peribadi berbanding komunikasi,’’ tambahnya.
Beliau berkata, peruntukan itu sangat tidak adil ekoran masih ramai rakyat Indonesia hidup dibawah paras kemiskinan.
Bagaimanapun, seorang ahli Parlimen dari Parti Demokratik, Roy Suryo berkata, seorang ahli Parlimen menerima antara 1.5 juta hingga dua juta rupiah (RM524.25 hingga RM699) sebulan untuk komunikasi.
‘‘Saya tidak ingat jumlah sebenar tetapi ia sekitar jumlah berkenaan,’’ katanya.
Beliau memberitahu, kakitangan DPR yang menguruskan bajet peribadi ahli-ahli Parlimen. – Agensi, utusan
No comments:
Post a Comment