MELAKA – Lebih 300 penduduk Blok G Pangsapuri Tengkera Jaya, Taman Siantan, Tengkera di sini merayu pihak Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) agar dapat berbuat sesuatu terhadap tekanan air yang terlalu rendah di kediaman mereka sejak tiga minggu lalu.
“Kami yang tinggal di tingkat empat sudah tidak sanggup lagi untuk turun naik mengangkut air ke rumah setiap hari,” kata seorang penduduk, Roszaini Jantan, 28.
Menurut Roszaini, banyak aduan telah dibuat kepada MBMB namun masalah yang dihadapi masih belum diselesaikan.
“Keadaan semakin teruk sejak tiga minggu lalu dan air yang sampai ke tangki mengambil masa satu hari untuk penuh.
“Air dalam tangki pula hanya cukup untuk memasak dan membasuh pakaian dan untuk mandi, saya bersama lima anak berusia setahun hingga lapan tahun terpaksa mandi di koridor rumah menggunakan tadahan air hujan,” katanya.
Jelas Roszaini, masalah tekanan air rendah di pangsapuri tersebut menyebabkan banyak urusan harian penduduk terganggu terutama bagi mereka yang bekerja.
Roszaini memberitahu, seorang pegawai Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) pernah datang membuat pemeriksaan namun keadaan masih tidak berubah.
kosmo
No comments:
Post a Comment