SEREMBAN: Mahkamah Tinggi Seremban hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang bekas pemasang paip kerana membunuh seorang ustazah dan anak lelakinya berusia 10 tahun pada tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Seremban, Datuk Ahmad Nasfy Yasin mendapati Ali Tan Abdullah, 35 tahun bersalah kerana membunuh jiran sebelah rumahnya ustazah Norliza Ishak, 35 dan anak lelakinya Amirul Ayman Mohd Yusoff di B5-1-09B, Flat Win Min, Pasar Baru Port Dickson, Negeri Sembilan pada 2 September tahun lalu.
Dalam keputusannya, hakim itu berkata, Ali Tan memberi keterangan bahawa dia hanya memasuki rumah mangsa untuk mengambil barang kemas, telefon bimbit, komputer riba dan alat permainan Playstation tetapi tidak membunuh mangsa dan anaknya.
"Dia kemudian menggadai barang kemas itu dan menghantar komputer riba terbabit ke sebuah kedai untuk diformatkan. Selepas kejadian itu, Ali Tan tidak pulang ke rumah sebaliknya bermalam di sebuah hotel.
"Selepas kejadian, rumah mangsa dikunci dengan baik dan tidak ada kesan pecah masuk. Ini menunjukkan bahawa tertuduh adalah orang terakhir yang bertemu mangsa. Semua keterangan tertuduh adalah satu bentuk penafian semata-mata tanpa sokongan daripada sesiapa," katanya.
Menurut suami mangsa, Mohd Yusoff Awang Besar, Allahyarham isterinya selalu memakai barang-barang kemas dan pada kejadian itu tertuduh bergelut dengan mangsa untuk merampas barang kemas.
"Pergelutan di dalam rumah menunjukkan tertuduh cuba merampas barang kemas itu. Mangsa juga mengalami beberapa kecederaan ketika dalam usahanya untuk mempertahankan diri. Muka dan leher mangsa lebam akibat dipukul dengan benda tumpul," katanya.
Ketika kejadian itu, suami mangsa tiada di rumah kerana bekerja di Mesir.
Ali Tan yang dihukum gantung sampai mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, diwakili peguam Philip Yeow Boon dan S Gobind dan pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa raya Mahmud Abdullah. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment