GEORGETOWN - Antara pengalaman yang tidak akan dilupakan sehingga akhir hayat, mengikat perut selama 20 hari akibat terputus bekalan makanan berikutan tiada wang dengan menjamah baki ‘biskut kering’ yang tinggal.
Abdul Rahim Batcha, 75, mengakui, kehidupannya bersama anak tunggalnya, Zarina Abdul Rahim, 32, bertambah parah apabila dia terpaksa berhenti kerja sebagai anak kapal di sebuah syarikat di Kuala Lumpur kerana faktor usia sejak 10 tahun lalu.
Menurutnya, penderitaannya bertambah apabila Zarina disahkan mengidap penyakit jantung sejak 2008 dan berulang alik ke klinik kerajaan terdekat bagi mendapatkan rawatan.
“Kami terpaksa menjalani kehidupan dalam serba kekurangan sejak lapan tahun lalu dan kini hidup menumpang di bilik di bahagian atas ini rumah ini (Kampung Dodol, Jalan Perak). Saya pernah mengambil upah sebagai pencuci pinggan di sebuah restoran dengan bayaran RM25 sehari namun hanya bertahan selama lebih setahun kerana keadaan kesihatan yang tidak menentu.
“Saya menerima wang bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri sejak 2004 sebanyak RM300 sebulan. Dengan jumlah itu juga saya membayar wang sewa rumah malah tiada baki bagi saya membeli keperluan makanan dan hanya bergantung kepada upah mencuci pinggan,” katanya ketika ditemui.
Rahim berkata, dia kini tidak lagi bekerja berikutan tiada majikan yang mahu mengambilnya bekerja memandangkan usianya sudah tua selain pernah memohon kerja sebagai pengawal keselamatan namun permohonannya ditolak.
“Jika tiada wang, saya dan Zarina akan berjalan kaki ke klinik yang terletak kira-kira satu kilometer dari tempat tinggal malah saya sering berjalan kaki jika hendak ke sesuatu tempat kerana tidak mempunyai wang tambang,” katanya.
Menurutnya, dia juga pernah berulang alik ke pejabat Kerajaan Negeri sejak dua bulan lalu bagi mendapatkan permohonan mendiami rumah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) namun sehingga kini, dia dan anaknya masih menunggu.
Walaupun tidak pernah gagal membayar sewa rumah di Jalan Terengganu, Rahim dan anaknya terpaksa berpindah kerana pemilik rumah mahu mengambil semula rumah berkenaan dan menyebabkan mereka hilang arah tanpa tempat tinggal malah mengharapkan ihsan rakan serta jiran bagi membeli keperluan makanan.
“Dengan dibantu seorang lelaki yang tidak dikenali, lelaki itu meminta rakannya membenarkan kami menumpang di sebuah bilik bahagian atas rumahnya tanpa dikenakan bayaran sejak minggu lalu.
“Jika permohonan rumah PPRT tidak layak, harap mereka dapat maklumkan. Mujurlah pemilik rumah ini baik hati dan membenarkan saya tinggal di sini sehingga mendapat rumah lain, namun saya risau nasib anak saya nanti jika saya tiada lagi kerana kami tiada saudara mara manakala isteri saya sudah meninggal dunia sejak 15 tahun lalu,” katanya.
Bagi orang ramai yang mahu menyalurkan bantuan, boleh menghubungi Rahim di talian 012-4816236 atau menyumbang ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 0710029000377681 (Abdul Rahim Mohamed Batcha).
No comments:
Post a Comment