Saturday, May 7, 2011

Isteri mahu kerajaan bantu bebaskan suami



Noor Aisyah Jamari membaca laporan Utusan Malaysiamengenai hukuman penjara terhadap suaminya, Redzuan Ariss di Pontian, semalam.


PONTIAN 6 Mei - Ahli keluarga tujuh nelayan tempatan yang dijatuhkan hukuman penjara oleh mahkamah di Bengkalis, Indonesia semalam, berharap kerajaan dapat segera membantu membebaskan mereka.
Walaupun terkejut dengan keputusan tersebut, namun mereka menaruh harapan proses rayuan yang dikemukakan kelak dapat memberikan keputusan positif.
Noor Aisyah Jamari, 36, isteri kepada Redzuan Ariss berkata, walaupun sebak dan sedih mendengar keputusan tersebut tetapi dia cuba bertenang menerima kenyataan itu.
"Saya cuba sedaya upaya memujuk hati ini supaya tidak terlalu bersedih memandangkan hukuman telah dijatuhkan walaupun pelbagai usaha dilakukan bagi membebaskan suami dan rakan-rakannya.
"Anak sulung, Hasif Nur Firdaus Ridzuan, 13, telah mengetahui lebih awal maklumat tersebut daripada datuknya, Ariss Baba. Bagaimanapun, dua lagi anak kami, Haziq Fadilah, 11, dan Nadia Kamilah, 9, yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Mahmood Iskandar 1 belum mengetahui khabar sedih itu," katanya semasa ditemui di rumahnya di Pontian Besar, dekat sini hari ini.
Noor Aisyah yang tidak bekerja amat berharap suami dan rakan-rakannya dapat dibebaskan memandangkan kehidupan mereka amat susah ekoran ketiadaan suaminya.
"Selama dua bulan anak-anak kehilangan kasih sayang seorang ayah dan sekiranya suami terus ditahan di penjara, bertambah sukarlah kehidupan kami selepas ini," katanya sedih.
Sementara itu, Ariss Baba berharap jaminan yang diberikan oleh pihak Kedutaan Besar Republik Indonesia bahawa anaknya dan rakan-rakan akan dibebaskan mengikut saluran diplomatik menjadi kenyataan.
"Diharapkan Kementerian Luar mengambil tindakan susulan serta segera mengemukakan dokumen atau bukti yang menunjukkan kejadian tersebut berlaku di perairan negara ini," ujarnya.
Semalam, mahkamah di Bengkalis menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan ke atas Redzuan dan enam rakannya atas kesalahan menceroboh perairan Indonesia pada 8 Mac lalu.

No comments:

Post a Comment