SAUDARA mara dan penduduk kampung hadir di tanah perkuburan Islam Kampung Kenor untuk melihat jenazah Rafidah disemadikan, malam tadi. |
ZAMRI Hamat bersama dua anaknya, Rashidah Ilina dan Zaim Shahrul. |
KUALA KRAI: Sehari menjelang sambutan Hari Ibu, seorang ibu berkorban nyawa bagi menyelamatkan tiga anaknya daripada api yang marak membakar rumah mereka di Taman Sri Guchil, Kuala Krai, tengah hari semalam.
Sebelum ditemui rentung, Rafidah Ismail, 36, terpaksa membengkokkan besi tingkap rumah untuk mengeluarkan anakanaknya bagi disambut jiran.
Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, tiga anaknya, Rashidah Iliana Zamri, 7; Zaim Shahrul, 6; dan Zaim Iqbal, 2, selamat, bagaimanapun Rafidah terperangkap di dalam rumah dipercayai gagal membuka jeriji pintu.
Mayat mangsa yang berkhidmat sebagai jururawat di Hospital Kuala Krai ditemui dekat pintu utama rumah berkenaan.
Namun bagi bapa mangsa, Ismail Husin, 63, yang masih terkejut dengan kejadian itu, jeritan meminta tolong anak sulungnya akan menghantuinya sepanjang hayat.
“Masih terngiang-ngiang suaranya meminta tolong ketika api marak tapi saya tidak mampu berbuat apa-apa,” katanya sebak.
Suami mangsa, Zamri Hamat, 38, tentera di Kem Sri Banding Grik, Perak, berkata beliau menerima panggilan telefon daripada bapa mentuanya, kira-kira jam 2 petang selepas solat Jumaat.
“Bapa mentua minta saya bertenang ketika memberitahu rumah saya terbakar dan isteri terperangkap di dalam rumah,” katanya yang tiba di Kuala Krai jam 5.45 petang.
Katanya, kejadian itu memberi tamparan hebat baginya sekeluarga terutama anak sulung mereka Rashidah Ilyana yang masih terkejut dengan peristiwa yang menimpa ibunya.
“Anak sulung saya hanya mendiamkan diri bila ditanya kerana benar-benar terkejut dengan kejadian yang menimpa ibunya,” katanya.
No comments:
Post a Comment