Saturday, May 7, 2011

Nelayan kita tidak ceroboh



JAKARTA 6 Mei - Malaysia kesal di atas keputusan mahkamah di Bengkalis menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan ke atas enam nelayan Malaysia kerana bukti yang ada menunjukkan mereka berada di dalam perairan negara.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, bukti-bukti yang dikemukakan oleh pihak berkuasa di Malaysia berhubung kes tersebut jelas menunjukkan bahawa kumpulan nelayan itu tidak menceroboh perairan Indonesia.
Malaysia juga, katanya, meminta supaya kes tersebut diselesaikan tanpa perlu dibawa ke mahkamah dan beliau secara peribadi telah menghubungi Menteri Luar Indonesia, Marty Natalegawa pada 8 Mac lalu iaitu pada hari nelayan berkenaan ditahan.
Beliau berkata, kes tersebut kini di peringkat rayuan dan pihaknya berusaha untuk membebaskan kesemua nelayan itu yang turut dikenakan denda RM350,000 atau Rupiah 1 miliar. Jika gagal menjelaskan denda tersebut, mereka boleh dipenjara tiga bulan.
Menurut Anifah, amalan di Malaysia menyaksikan nelayan-nelayan Indonesia yang ditangkap kerana menceroboh perairan negara kebiasaannya hanya ditahan dan dihantar pulang tanpa mendakwa mereka di mahkamah.
"Justeru apabila pihak berkuasa di Indonesia membawa kes-kes penahanan rakyat Malaysia ke mahkamah sehingga mereka dijatuhi hukuman penjara saya rasa ia tentulah sesuatu yang membimbangkan.
"Nelayan-nelayan tersebut ditahan untuk tempoh yang lama sebelum dibawa ke mahkamah, perlu difikir tentang keluarga mereka apatah lagi yang ditahan itu pekerjaannya cuma nelayan," kata Anifah.
Beliau mengulas keputusan mahkamah di Bengkalis, Indonesia semalam menjatuhkan hukuman terhadap tujuh nelayan Pontian yang didakwa menceroboh perairan Indonesia pada 8 Mac lalu. Seorang daripada mereka adalah rakyat Indonesia.
Selain dijatuhi hukuman penjara, kedua-dua bot tunda nelayan itu dirampas.
Anifah berada di sini bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN dan beberapa siri mesyuarat lain sebelum Sidang Kemuncak ASEAN ke-18 yang bermula esok.
Delegasi Malaysia diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment