Saturday, May 7, 2011

Pendakwaan perlu senarai aktiviti haram bekas setiausaha politik





2011/05/07

HASBIE (tengah) tiba di Mahkamah Sesyen Butterworth, semalam bagi mendengar keputusan mengenai permohonan pihak pembelaan.
HASBIE (tengah) tiba di Mahkamah Sesyen Butterworth, semalam bagi mendengar keputusan mengenai permohonan pihak pembelaan.
BUTTERWORTH: Mahkamah Sesyen di sini semalam mengarahkan pihak pendakwaan kes bekas Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcob yang didakwa atas tuduhan penggubahan wang haram lebih RM2 juta, membuat pindaan ke atas kertas pertuduhan. 

Hakim Zairan Mohd Aman mengarahkan pendakwaan memasukkan aktiviti haram yang dilakukan tertuduh, Hasbie Satar dalam pertuduhan yang dibuat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.
“Pendakwa perlu mengkategorikan (aktiviti haram) tertuduh mengikut mana-mana daripada 16 kesalahan berat di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001," katanya ketika membuat keputusan mengenai permohonan pihak pembelaan pada prosiding semalam.
Pada prosiding sebelum ini, peguam tertuduh, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah mengemukakan rayuan kepada mahkamah dan memohon Hasbie dilepaskan daripada pertuduhan itu kerana tidak dinyatakan secara jelas mengikut undang-undang bahawa anak guamnya terbabit dalam kegiatan untuk mendapatkan wang secara haram. 

Zairan menetapkan 13 Mei ini bagi sebutan semula kes. Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Anslem Charles Fernandis. 

Hasbie, 38, didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan. 

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah apartmen di Teluk Air Tawar, dekat sini apabila wang berjumlah RM2,134,656 itu dijumpai di premis berkenaan pada 11 Februari tahun lalu. 

No comments:

Post a Comment