Sunday, May 15, 2011

Kuan Yew, Chok Tong bersara



Lee Kuan Yew (kiri) dan Goh Chock Tong mengangkat sumpah semasa pembentukan kerajaan baru di Istana Presiden, Singapura pada 12 Ogos 2004. – REUTERS


SINGAPURA 14 Mei – Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew dan Menteri Kanan, Goh Chok Tong hari ini mengumumkan peletakan jawatan mereka dari Kabinet bagi memberi peluang kepada pemimpin generasi muda menentukan masa depan politik republik ini.
Pengumuman mengejut itu dibuat seminggu selepas pihak pembangkang meraih kejayaan paling besar dalam pilihan raya umum negara sejak Parti Tindakan Rakyat (PAP) memerintah lebih 50 tahun lalu.
“Kami telah mengkaji situasi politik masa kini dan memikirkan bagaimana ia akan memberi kesan kepada masa depan.
“Selepas keputusan pilihan raya lalu yang menyaksikan satu titik perubahan, kami memutuskan untuk melepaskan semua jawatan dalam Kabinet dan memberi peluang kepada menteri-menteri lebih muda untuk mendekati golongan muda dalam menentukan hala tuju negara,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.
Perdana Menteri, Lee Hsien Loong dijangka membentuk kerajaan baru dalam masa terdekat selepas memenangi pilihan raya pada 7 Mei lalu.
Walaupun PAP memenangi 81 daripada 87 kerusi yang dipertandingkan, pihak pembangkang buat pertama kalinya berjaya menggoyahkan kekuatan parti pemerintah dengan mengurangkan majoriti undian.
Kuan Yew, 87, adalah Perdana Menteri Singapura dari tahun 1959 hingga 1990, sebelum digantikan oleh Chok Tong sehingga 2004.
Kedua-dua mereka memenangi kerusi Parlimen pada pilihan raya 7 Mei lalu dengan PAP memenangi 60 peratus undi, merosot berbanding 67 peratus semasa pilihan raya 2006 dan 75 peratus pada pilihan raya 2004.
Parti Pekerja pula memenangi enam kerusi, jumlah paling banyak diperoleh parti pembangkang sejak negara ini merdeka. – AFP/AGENSI

No comments:

Post a Comment