Sunday, May 15, 2011

Sugul sebelum kejadian


KANGAR: “Saya tidak sangka lelaki yang menggelupur kesakitan akibat disimbah asid di bahu jalan adalah rakan saya,” kata Harizal Mat Hassan, 39, mengenai Muhamad Hanif Sunaid @ Shuib, 25, yang melecur kira-kira 50 peratus selepas disimbah asid di Kampung Sentang, Utan Aji, dekat sini, pagi kelmarin.
Harizal berkata, dia bersama empat rakannya berada di sebuah bengkel tidak jauh dari tempat kejadian sebelum diberitahu seorang penunggang motosikal bahawa seorang lelaki terbaring kesakitan di tepi jalan tidak jauh dari situ.

“Kami bergegas ke lokasi berkenaan sebelum melihat kelibat manusia separuh bogel menggelupur kesakitan di tepi jalan itu. Sebaik tiba, saya terkejut melihat orang itu adalah Muhamad Hanif.

“Saya suruh dia bersabar selepas hampir keseluruhan muka dan badannya ketika itu bagai hangus kesan simbahan asid. Ketika itu mulutnya berbuih, mungkin tertelan asid, tetapi bercakap mengenai kejadian,” katanya semalam.

Mereka kemudian menghantar mangsa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini sebelum mangsa dirujuk Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

Harizal berkata, Muhamad Hanif antara rakannya yang kerap melepak di bengkel tempatnya bekerja.


“Dua hari lalu ketika berjumpa saya di bengkel, dia sugul seperti ada masalah, namun tidak mahu berkongsi dengan kami.

“Saya lihat sebaik dia bercakap di telefon, dia termenung seperti ada masalah dan tak banyak bercakap seperti biasa,” katanya.
Menurutnya, dia hanya tahu mangsa berkawan dengan seorang wanita tetapi tidak pernah bercakap dengan wanita itu.

No comments:

Post a Comment