Sunday, May 15, 2011

Poligami bukan satu galakan


KUALA LUMPUR: Berpoligami tidak boleh dilakukan sesuka hati, sebaliknya dibenarkan dengan syarat tertentu iaitu kerana perkara darurat (terdesak) atau ada sebab kukuh.
Penceramah bebas, Datuk Hassan Mahmud al-Hafiz berkata, poligami bukan satu galakan dan lelaki yang ingin berbuat demikian mesti membuktikan dia layak dan berkemampuan menyara semua isteri dan anak serta mempunyai tujuan baik iaitu bukan untuk menganiaya isteri.

“Saya bersetuju poligami ada dalam Islam iaitu boleh berkahwin dua, tiga atau empat. Bagaimanapun, ada sebab mengharuskan seseorang itu bernikah lebih daripada satu.

“Antaranya apabila isteri jatuh sakit dan tidak mampu memenuhi tanggungjawab sebagai isteri. Suami dibenarkan berkahwin bagi mengelak dia melakukan perkara dilarang di sisi Islam.

“Sebab lain tidak mendapat zuriat walaupun sudah lama berkahwin. Lelaki dibenarkan berpoligami untuk membela nasib wanita yang menjadi janda kerana suami terbunuh ketika berperang dan poligami dibolehkan bagi lelaki yang mempunyai nafsu luar biasa,” katanya.

Menurutnya, niat Salih Yakob mencukupkan kuota berkahwin empat bukan menggambarkan semua lelaki boleh melakukannya, tetapi perlu melihat sama ada mereka benar-benar layak dan menepati syarat berpoligami ditetapkan Islam.


“Sesetengah lelaki berpoligami kerana ada masalah dengan isteri dan apabila berkahwin lagi, semakin menambah beban. Malah ada lelaki tidak berkemampuan dan mempunyai anak ramai.

“Syarat kelayakan berpoligami diluluskan pejabat agama. Antara yang tidak dibenarkan berpoligami ialah mereka yang tiada rumah sendiri, sebaliknya menyewa, bergaji kecil dan berhutang,” katanya.
Mengenai kenyataan bahawa isteri yang membenarkan suami berkahwin lagi akan mendapat payung emas di syurga, beliau berkata, ia hanya kata-kata sedap mulut.

“Berpoligami bukan setakat memberi kasih sayang dan nafkah zahir batin, tetapi lelaki perlu berlaku adil. Perlu dikaji sebab lelaki itu ingin berkahwin lagi. Nabi Muhammad SAW berpoligami dengan mengambil wanita kematian suami akibat peperangan. Hanya seorang wanita yang dikahwini anak dara iaitu Siti Aisyah,” katanya.-metro

No comments:

Post a Comment