Sunday, May 15, 2011

'Salih mampu'

KUALA LUMPUR: Isteri kedua Salih Yaacob, Norraha Hamad, 43, percaya suaminya tidak bermasalah memimpin Emi, 24, menjalani hidup bersama keluarga mereka.
Norraha berkata, sebelum ini pun Salih boleh mengendalikan tiga isterinya hidup harmoni bersama, jadi bukan masalah buat suaminya membawa lagi seorang isteri dalam kehidupan mereka sekeluarga.

“Secara luaran, abang memang bersahaja dan mesra, tapi dalam diam dia seorang yang tegas, dan paling penting, bertanggungjawab terhadap keluarga.

“Tegas yang saya maksudkan bukan dengan sikap garang dan suka marah, tetapi melalui kepemimpinan sebagai suami dan bapa, lebih-lebih dalam hal agama. Saya yakin abang mampu mengekalkan keharmonian rumah tangga yang kami dirikan bersama ini dengan kehadiran orang baru (Emi),” katanya.

Mengenai bakal madunya, Norahha berkata, setakat ini dia bersama madu lain sudah dua kali bertemu Emi.

“Dia (Emi) okay, tapi masih terlalu awal untuk menilainya. Saya dan madu lain tidak ada masalah, malah kehadirannya dalam keluarga kami dialu-alukan.


“Kami (isteri) dah dididik abang supaya saling menghormati dan menyayangi satu sama lain. Jadi, Emy pun akan turut disayangi dalam keluarga ini apabila menjadi isteri abang yang sah nanti,” katanya.

Berhubung kisah mengenai hubungan Salih dengan Emy, menurut Norraha, dia dan madu lain tahu mengenainya daripada mulut Salih.
Katanya, Salih tidak pernah merahsiakan hubungan dengan mana-mana perempuan yang dikenalinya, sekalipun dengan hasrat untuk bercinta.

“Selepas mengenali Emi, abang ceritakan semuanya dari awal lagi.

“Abang memang begitu, jika hari ini berkenalan dengan perempuan, malam itu juga akan diceritakan dengan isterinya yang lain,” katanya.

Norraha berkata, dia bersama madu lain tidak pernah ambil pusing dengan apa dilakukan Salih kerana mereka tahu kejujuran serta tanggungjawab suami mereka terhadap keluarga.

Mengimbas cara Salih mengendalikan isteri dan keluarga di kediaman mereka, sambil berseloroh Norraha berkata, lagaknya suaminya tak ubah seperti mandur.

“Setiap hari selepas habis waktu bekerja di konti, dia menjenguk semua rumah isterinya dan berjumpa anak. Dia datang bergilir-gilir secara berselang seli dalam tempoh lebih kurang dua jam.

“Dulu masa beristeri dua, abang ke rumah isteri selang sehari, tetapi dengan tiga isteri dia tidak boleh buat begitu sebab ia mengambil masa lama. Jadi, setiap masa abang perlu berjumpa kami, baru adil untuk semua.

“Lagipun, tiada masalah abang berjumpa kami lebih kerap kerana kami duduk di kawasan kediaman yang berhampiran,” katanya.

>INFO
ISTERI PERTAMA
NAMA: Norizah Mamat
UMUR: 46 tahun
TAHUN KAHWIN: 1989
ANAK: 4

ISTERI KEDUA
NAMA: Norraha Hamat
UMUR: 43 tahun
TAHUN KAHWIN: 1993
ANAK: 6

ISTERI KETIGA
NAMA: Norfara Wahida Sulaiman
UMUR: 33 tahun
TAHUN KAHWIN: 2007
ANAK: 1
metro

No comments:

Post a Comment