Sunday, July 24, 2011

84 remaja mati ditembak

pix_middle



DUA wanita melintasi kawasan yang menjadi sasaran serangan bom di Oslo.
DUA wanita melintasi kawasan yang menjadi sasaran serangan bom di Oslo.


OSLO: Seorang lelaki bersenjata yang berpakaian seragam polis menembak mati sekurang-kurangnya 84 orang di satu perkhemahan musim panas anjuran parti yang memerintah Norway, beberapa jam selepas letupan bom meragut tujuh nyawa di di bandar raya ini.
Saksi berkata, lelaki itu yang dikenalpasti warga tempatan berusia 32 tahun yang dipercayai terbabit dalam pengeboman di tengah Oslo, pergi ke pulau percutian Utaoya dan melepaskan tembakan rambang ke arah remaja.

Polis berkata, mereka sudah mendakwa lelaki berkenaan atas tuduhan serangan bom dan menembak itu.

“Sebuah pulau peranginan bertukar menjadi neraka,” kata Perdana Menteri, Jens Stoltenberg pada sidang akhbar semalam.

Remaja di perkhemahan tepi tasik berkenaan bertempiaran lari sambil menjerit ketakutan, ramai yang terjun ke dalam air untuk menyelamatkan diri apabila penyerang itu mula melepaskan tembakan.


“Saya melihat ramai yang terjun ke dalam air, kira-kira 50 berenang ke tebing. Ramai yang menangis. Mereka ketakutan,” kata Anita Lien, 42, yang tinggal di tepi Tasik Tyrifjord, beberapa ratus meter dari Utoeya.

“Mereka begitu muda, antara 14 dan 19 tahun.” Seorang mangsa yang terselamat, Jorgen Benone berkata: “Keadaan menjadi begitu kelam kabut. Saya yakin beberapa orang mati ketika cuba berenang menyelamatkan diri.

“Saya melihat orang ditembak. Saya cuba mendiamkan diri. Saya bersembunyi di sebalik batu, beberapa meter dari penyerang itu.
“Sejurus sebelum serangan itu, kami berkumpul di dewan utama, berbincang mengenai pengeboman di Oslo. Tiba-tiba kami mendengar tembakan. Mulanya kami menganggap tidak ada apa-apa buruk berlaku.

“Tidak lama selepas itu, semua orang berlari, kata Hana, 16.

“Saya melihat seorang anggota polis. Dia berkata: ‘ Saya mahu semua orang berkumpul.’ “Dia kemudian berlari dan mula menembak. Kami berlari ke arah pantai dan berenang. Dia tetap menembak kami,” kata gadis itu.

Ramai peserta perkhemahan itu berlindung di bangunan sementara bunyi tembakan bergema di seluruh pulau berkenaan yang menganjurkan perkhemahan tahunan untuk sayap belia Parti Buruh.

Polis yang tiba d tempat kejadian 30 minit selepas bunyi tembakan pertama, turut menemui bahan letupan di pulau berkenaan.

Bom yang meletup di pusat pentadbiran kerajaan di Oslo beberapa jam sebelum itu menyebabkan kersosakan pada bangunan pejabat perdana menteri dan beberapa kementerian. - Agensi
myMetro84 remaja mati ditembak

No comments:

Post a Comment