SYDNEY: Seorang lelaki yang mencari perlindungan politik mengelar lehernya sementara berpuluh-puluh rakan senegaranya meneruskan mogok lapar, semalam.
Dua lelaki mencederakan diri mereka, seorang di lengan dan seorang di leher, di pusat tahanan Scherger, utara negeri Queensland, kata aktivis pelarian, Pamela Curr dari Pusat Sumber Pencari Suaka Politik.
Mereka adalah di antara 80 lelaki dari puak minoriti Hazara yang berasal dari Afghanistan.
Kumpulan berkenaan melancarkan tunjuk perasaan empat hari lalu dan sebahagian mereka tidak makan atau minum sejak 48 jam lepas, kata Pamela.
“Terdapat 80 lelaki menunjuk perasaan di pusat itu dan menimbang untuk membunuh diri,” katanya. Bagaimanapun, pegawai imigresen berkata, kira-kira 50 tahanan menunjuk perasaan secara aman dan mengaku berlaku cubaan mencederakan diri tetapi menyifatkannya sebagai tidak serius.
“Dua tahanan mencederakan diri mereka tetapi kecederaan hanya kecil dan mereka diawasi oleh kakitangan perubatan,” kata jurucakap jabatan itu.
Pamela berkata, beberapa tahanan itu sudah berada di pusat berkenaan sejak 22 bulan lalu, menyebabkan mereka hilang keyakinan diri dan bertindak menunjuk perasaan, satu-satunya cara untuk menarik tumpuan pihak bertanggungjawab.
Selain enggan minum dan makan, sebahagian lelaki itu yang menghidap kencing manis, batu karang dan tekanan darah tinggi juga menolak ubat yang diberikan pihak berkuasa.
“Dua lelaki sudah tidak sedarkan diri dan seorang lagi memanjat pokok serta mengancam untuk terjun.
“Mereka sudah buntu kerana berada begitu lama dalam tahanan itu,” kata Pamela.
Dalam surat tuntutan mereka, kumpulan itu berkata, tindakan memenjarakan mereka memusnahkan kesihatan fizikal dan mental mereka yang sebelum ini sudahpun terjejas kerana bertahun-tahun menderita di bawah pemerintahan pelbagai rejim di Afghanistan. - AFP
No comments:
Post a Comment