Sunday, July 24, 2011

Pas tetap sertai PRU-13: Hadi



TUMPAT – Pas akan tetap menyertai Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), sekalipun lapan permintaan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) tidak dipenuhi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas akan menentang sebarang bentuk penyelewengan jika berlaku ketika pilihan raya umum nanti atau selepas pilihan raya itu nanti.

“Kita akan bertanding pada PRU-13, selama ini pun kita boleh menang, kita akan lawan.

“Selama ini, walau pun pilihan raya tidak bersih seluruh negara, Kelantan boleh bertahan hingga 20 tahun,” katanya selepas menutup Ijtimak Pilihan Raya Pas Kelantan di Pantai Geting, di sini, kelmarin.

Turut hadir, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Pesuruhjaya Pas Kelantan.

Antara tuntutan Bersih 2,0 terbabit ialah membersihkan senarai daftar pengundi, mengkaji semula undi pos, menggunakan dakwat kekal, memberikan 21 hari minimum berkempen, peluang sama rata di media, memperkuatkan institusi awam, menghentikan rasuah dan memberhentikan permainan kotor politik.

Abdul Hadi turut mengulas bahawa Bersih 2.0 adalah lebih baik berbanding Bersih 1.0 kerana penyertaan Melayu Islam dan bukan Islam satu gabungan yang baik.

“Peserta Bersih baru-baru ini menunjukkan kesopanan, tiada seorang pun polis yang cedera,” katanya yang berharap negara ini berlaku perubahan secara bersopan.

Beliau berseloroh mengatakan jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mahu menjadi pemimpin yang bertanggungjawab, beliau perlu menerima segala perubahan yang dituntut rakyat.
SH

No comments:

Post a Comment