KOTA BHARU: Hanya dua harapan ditagih pasangan Mek Wook Kundor, 108, bersama suaminya, Mohd Noor Musa, 39, iaitu agensi pelancongan yang menganjurkan pakej umrah kepada mereka memberi peluang kedua untuk menunaikan haji tahun ini atau mengembalikan wang berjumlah RM34,000.
Mohd Noor berkata, dia terkilan tindakan agensi terbabit yang bersikap ‘lepas tangan’ hingga mereka berdua terpaksa pulang ke Kampung Chat Rimau, Tanah Merah untuk menenangkan fikiran.
“Saya tidak menolak mungkin kenyataan saya di sebuah akhbar baru-baru ini mengenai hasrat kami untuk tinggal di Makkah selama empat bulan menjadi punca permohonan visa kami tidak dikeluarkan.
“Sedangkan saya menjawab atas dasar niat saja, tetapi tidak tahu pula menjadi kesalahan di pihak sana (agensi pelancongan) hingga hajat kami terhalang sama sekali.
“Akibatnya kami terpaksa pulang dengan hampa meskipun persediaan sudah dilakukan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Katanya, lima bulan lalu dia dan isteri mendaftarkan diri untuk menunaikan umrah sebelum bertemu seorang ejen pelancongan dekat Pasir Tumbor, di sini.
“Kami tertarik untuk ke sana (Makkah) dan membayar kira-kira RM34,000. Semua wang itu hasil simpanan isteri (Mek Wook) sejak sekian lama, selain beribadat kepada Tuhan berikutan usianya semakin meningkat.
“Bagaimanapun, harapan untuk ke sana semakin kabur selepas insiden itu berlaku. Memang mereka tidak menipu kami, tetapi tindakan mereka menyebabkan kami dalam dilema,” katanya.
Mohd Noor yang menikahi Mek Wook pada 2006 berkata, besar harapan mereka untuk ke sana, selain luahan isterinya sejak mereka diijab kabul dan akan ke Makkah jika wang dikumpulkan mencukupi.
“Sebagai suami, saya mahu hajat isteri termakbul ketika umurnya masih panjang. Bila ini berlaku, saya rasa bersalah dan tidak tahu bagaimana untuk menerangkan kepadanya yang semakin hari semakin uzur.
“Hanya harapan saya, beri kami peluang untuk ke sana. Disebabkan kegagalan untuk ke Makkah, fikiran saya menjadi tidak tenteram,” katanya.
Katanya, sehingga kini agensi berkenaan belum menghubunginya sejak pulang dari Kuala Lumpur ke Tanah Merah pagi kelmarin, termasuk memberi penjelasan atau memulangkan wang mereka.
“Sekarang ni macam-macam saya terpaksa fikirkan, kesihatan isteri, hasrat berdoa di Makkah untuk dijauhi dmasalah, melaporkan diri di balai polis berikutan masih di bawah pengawasan,” katanya.
Harian Metro melaporkan mengenai perasaan terkilan Mohd Noor dan Mek Wook berikutan tidak dapat menunaikan umrah ke Makkah tanpa sebab musabab, walaupun membayar wang RM34,000.
Lebih memilukan, pasangan suami isteri itu hanya diberitahu tidak boleh mengikut rombongan menunaikan umrah ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) beberapa jam sebelum ahli kumpulan lain berlepas jam 9.30 pagi semalam.
Sementara itu, usaha wartawan Metro Ahad untuk menghubungi individu yang menguruskan pakej umrah kepada pasangan berkenaan gagal berikutan sudah berangkat ke tanah suci bersama rombongannya, Khamis lalu.
Perkara itu disahkan anak kepada wakil agensi itu, selain tidak tahu mengenai kegagalan Mek Wook dan suaminya menunaikan umrah ke Makkah.
No comments:
Post a Comment