KHARTOUM 6 Julai - Seramai 197 orang terbunuh apabila sebuah bot membawa pendatang tanpa izin terbakar di Laut Merah.
Seramai tiga orang berjaya diselamatkan dan 197 lagi dipercayai lemas.
Usaha mencari mangsa yang terselamat masih diteruskan, lapor Pusat Media Sudan yang memetik satu sumber yang enggan dikenali.
Kejadian itu berlaku di luar perairan Sudan, selepas bot itu berlayar selama empat jam dari negara Afrika Utara.
Punca kebakaran masih belum diketahui.
Empat pemilik bot yang membawa bendera Cuba, bagaimanapun telah ditahan.
Mangsa adalah pendatang asing dari negara-negara Afrika yang cuba menyeberangi Laut Merah ke Arab Saudi.
Operasi itu dipercayai dirancang di Tokar, kira-kira 150 kilometer ke selatan Pelabuhan Sudan, berhampiran sempadan Eritrea.
Sementara itu, pihak berkuasa Sudan dilaporkan telah mematah satu lagi cubaan menyeludup seramai 247 pendatang asing dari negara-negara Afrika, termasuk dari Chad, Nigeria, Somalia dan Eritrea. - dpa
No comments:
Post a Comment