Monday, August 29, 2011

Kerinduan ibu terubat

KULIM: Kerinduan seorang ibu terhadap anak perempuannya yang menghilangkan diri kerana mengikut teman lelakinya pulang ke Nepal terubat apabila wanita berkenaan menghubungi keluarga untuk bertanya khabar, semalam.
Noorshaheera Mohd Rasul, 21, menghubungi ibunya, Siti Fatimah Yassin, 45, di rumah mereka di Taman Kenangan, Sungai Karangan, di sini, kira-kira jam 1 tengah hari dan mereka sempat berbual selama 30 minit.

Siti Fatimah berkata, dia terkejut apabila menerima panggilan daripada anaknya tetapi pada masa sama gembira dapat mendengar suara anaknya yang menghilangkan diri sejak seminggu lalu.

Menurutnya, anaknya memaklumkan dirinya sihat dan berada di sebuah rumah di India selain meminta keluarga tidak bimbang dengan keselamatannya.

“Dia (Noorshaheera) menelefon dua kali tetapi panggilan pertama terputus. Dia memberitahu teringatkan saya menyebabkannya menelefon bagi mengubat rindu tetapi terkejut apabila dimaklumkan sudah berkahwin dengan lelaki Nepal berkenaan.

“Malah, dia turut memaklumkan akan menghantar satu borang kepada bapanya untuk ditandatangani tetapi saya cuba memujuknya pulang tanpa perlu menghantar borang itu berikutan Aidilfitri akan tiba.


“Namun, dia hanya mendiamkan diri dan cuma memberitahu akan pulang ke Malaysia nanti, namun bukan dalam masa terdekat ini,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Harian Metro Sabtu lalu melaporkan Noorshaheera keluar rumah dengan alasan mahu bertemu rakannya tetapi tidak pulang hingga menimbulkan kebimbangan ahli keluarganya.

Wanita berkenaan akhirnya dikesan apabila dipercayai mengikut kekasihnya, lelaki warga Nepal berusia 20-an yang dikenali sejak setahun lalu ketika bekerja di sebuah kilang di Sungai Karangan.

Berdasarkan maklumat, wanita berkenaan dan lelaki Nepal itu menaiki penerbangan dari Pulau Pinang sebelum transit di Bangkok dan menuju ke Kathmandu pada 23 Ogos lalu.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Padang Serai, Asmaidi Abu Talib berkata, pihaknya dimaklumkan Kedutaan Nepal di Kuala Lumpur bersedia membantu keluarga wanita yang melarikan diri dengan kekasihnya, Imatyaj Khan Paithan berasal dari Nepal.

Bagaimanapun, menurutnya, Duta Nepal, Dr Rishi Raj Adhikari meminta keluarga terbabit membuat laporan rasmi kepada kedutaan berkenaan dan urusan itu kini dilakukan Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno Malaysia.hmetro

No comments:

Post a Comment