Monday, August 29, 2011

PPIM ketuai boikot minyak Esso



KUALA LUMPUR 28 Ogos - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tidak teragak-agak untuk mengetuai tindakan memboikot minyak serta lain-lain produk Esso Malaysia Bhd. (EMB) berikutan penjualan sahamnya kepada San Miguel Corporation (SMC) dalam masa terdekat.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan itu penting bagi mengingatkan syarikat multinasional yang beroperasi di negara ini supaya sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan ekonomi tempatan yang telah menjadi pusat operasi mereka selama berpuluh tahun.
"PPIM akan mengetuai boikot ke atas Esso dan mengajak rakyat Malaysia supaya menggunakan minyak Petronas kerana tindakan ExxonMobil (Corporation) menjual EMB kepada SMC jelas tidak menjaga sensitiviti rakyat negara kita.
"Seperti semua maklum, SMC turut berkecimpung dalam pembuatan serta pengedaran arak dan walaupun itu bukan merupakan perniagaan utama mereka, ia tetap menjadi satu pertimbangan yang akan PPIM gunakan dalam pemboikotan Esso nanti," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Setelah hampir dua minggu pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa ExxonMobil supaya tidak menjual pemilikan saham EMB kepada SMC, Naib Presidennya, Stafford T. Kelly dalam satu sidang akhbar hari ini menjelaskan penjualan itu tetap akan dibuat kepada syarikat berpangkalan di Filipina tersebut.
Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Penasihat Pengguna Malaysia (PPPM), M. Subramaniam berkata, keputusan ExxonMobil menjual saham EMB kepada SMC jelas menunjukkan ia tidak sensitif dengan kedudukan negara ini yang mempunyai penduduk majoriti beragama Islam.
Katanya, ExxonMobil perlu mengambil kira iklim sosiopolitik negara dan tidak hanya membuat tindakan berdasarkan keputusan perniagaan semata-mata.
"PPPM boleh menyertai tindakan boikot ke atas Esso tetapi ia tidak bermakna semua pengguna akan melaksanakannya (boikot).
"Bagaimanapun, jika majoriti pengguna Islam memboikot minyak Esso selepas ini, ia akan turut mempengaruhi rakan-rakan bukan Islam lain untuk turut sama menyertai boikot itu namun ia memang tertakluk kepada individu tertentu," jelasnya.utusan

No comments:

Post a Comment