Monday, August 29, 2011

‘Saya difitnah murtad’

KUALA LUMPUR: “Saya beri tempoh 14 hari kepada pihak terbabit supaya menarik balik laporan yang memfitnah saya murtad dan menganut Kristian di dalam laman blog mereka,” kata pesara kerajaan, Zainal Ratin Zainal Abidin, 67.
Bekas pengetua sekolah itu berkata, jika pengendali blog itu masih tidak menarik balik laporan fitnah itu selepas tempoh 14 hari, dia akan mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka.

“Laporan blog itu jelas berunsur fitnah sehingga menjatuhkan maruah saya kerana saya masih beragama Islam dan tidak pernah menukar agama seperti didakwa,” katanya yang ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail, di sini, semalam.

Zainal Ratin berkata, di dalam laporan blog berkenaan, namanya tercatat sebagai seorang daripada 430 orang Melayu yang dikatakan menukar status agama kepada Kristian, Hindu dan Buddha.

“Reputasi saya terjejas dengan berita tidak benar itu, tambahan ramai bekas pelajar yang mengenali saya, ” katanya yang menyedari kewujudan laporan blog berkenaan kira-kira jam 9 malam kelmarin ketika melayari Internet di rumahnya, Bandar Sri Damansara, dekat sini.

Menurutnya, berdasarkan maklumat di blog itu, artikel berkenaan diterbitkan pada 25 Jun lalu dan timbul persoalan bagaimana nama berserta nombor MyKad diperoleh dan disalahgunakan pihak terbabit.


“Tujuan saya membuat laporan polis adalah untuk membersihkan nama saya dan meminta polis menjalankan siasatan termasuk mengenai dakwaan 430 orang yang dilaporkan menukar agama kerana ia perkara serius,” katanya.hmetro

No comments:

Post a Comment