KUALA LUMPUR - Pihak Hospital Kuala Lumpur (HKL) meminta keluarga Putri Nur Natashah Mirsha Muhammad Amin yang buta akibat bisul pada mata kanannya lambat dirawat supaya segera hadir ke HKL bagi membolehkan kanak-kanak itu mendapatkan rawatan selanjutnya.
Pengarah HKL, Datuk Dr. Zaininah Mohd. Zain berkata, rawatan susulan itu perlu memandangkan Nur Natashah, 6, tidak hadir untuk menjalani rawatan ulangan yang dijadualkan pada 16 Julai 2008.
"Untuk itu, kita menyarankan agar keluarga kanak-kanak tersebut dapat membawa Nur Natashah ke HKL untuk mendapatkan rawatan susulan," katanya kepada Kosmo! dalam satu kenyataan di sini semalam.
Pada 2 Ogos lalu, Kosmo! melaporkan kisah malang Nur Natashah yang menghidapi bengkak pada mata kanannya akibat bisul tetapi ia tidak dirawat dengan segera kerana pihak Hospital Selayang menyangka bengkak tersebut hanyalah kesan gigitan nyamuk.
Ekoran masalah itu, bisul berkenaan dikatakan telah merosakkan mata Nur Natashah sehingga nanah bisul itu memasuki bebola mata yang akhirnya mata kanak-kanak itu menjadi buta.
Zaininah memberitahu, Nur Natashah sebenarnya dijadualkan untuk dimasukkan ke wad di HKL pada 16 Julai 2008 tetapi pesakit tersebut tidak hadir walaupun pihak hospital telah menghubungi bapa pesakit beberapa kali.
"Jadi kita berharap, keluarga kanak-kanak tersebut hadir ke HKL supaya pemeriksaan lanjut dapat dilakukan," katanya.KOSMO
No comments:
Post a Comment