Wednesday, September 14, 2011

Al-Qaeda keluar video Osama sempena 11 Sept.



HONG KONG 13 Sept. - Al-Qaeda semalam mengeluarkan satu rakaman video bekas pemimpin mereka yang dibunuh, Osama bin Laden, sempena ulang tahun serangan ke atas Amerika Syarikat (AS) pada 11 September 2001.
Menurut Kumpulan Perisikan SITE, rakaman video selama 62 minit bertajuk 'The Dawn of Imminent Victory' dan belum pernah diterbitkan sebelum ini, turut memuatkan ucapan ketua baru al-Qaeda, Ayman al-Zawahiri yang dilantik menggantikan Osama selepas pembunuhannya pada Mei lalu.
Video yang diterbitkan oleh media al-Qaeda, as-Sahab itu, bagaimanapun hanya menunjukkan gambar Ayman yang kini menjadi lelaki paling dikehendaki oleh Washington, selepas Osama dibunuh oleh tentera elit AS di tempat persembunyiannya di Abbotabad, Pakistan.
Seperti Osama, Ayman turut bersembunyi sejak AS mengisytiharkan perang ke atas pengganas selepas serangan 11 September.
Menurut SITE, video sempena ulang tahun serangan 11 September itu disiarkan pada forum jihad, semalam.
Dalam rakaman itu, Osama mencadangkan rakyat AS membaca buku "Obama War' yang ditulis oleh Bob Woodward yang memperincikan tentang perbalahan proses membuat keputusan di kalangan tentera AS serta memberitahu slogan kempen Presiden Barack Obama 'Yes, we can' tidak benar.
Ayman pula banyak berbicara tentang kejadian di masa lalu termasuk revolusi di dunia Arab dan kematian Obama.
Beliau menyuarakan sokongan al-Qaeda kepada revolusi itu dan berharap akan membangunkan Islam sebenar serta kerajaan berlandaskan syariah, sesuatu yang berbeza dengan laporan media sebelum ini.
AS pada Ahad lalu mengadakan upacara bagi memperingati ulang tahun ke-10 peristiwa serangan berdarah itu dalam majlis yang penuh emosi dan kawalan ketat. - AFP

No comments:

Post a Comment