Wednesday, September 14, 2011

lagi-lagi bangang


Kariah masjid buat laporan polis 
Oleh Md Fuzi Abd Lateh
mdfuzi@bharian.com.my
2011/09/14

Khatib didakwa baca khutbah bukan disediakan JAIS, sokong kenyataan Mat Sabu

BUKIT BERUNTUNG: Seramai 35 ahli kariah Masjid As Salam di sini membuat laporan polis berhubung tindakan seorang khatib membaca khutbah Jumaat tanpa menggunakan teks Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), selain tanpa segan silu menyokong kenyataan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang mendakwa komunis adalah pejuang kemerdekaan sebenar dalam khutbahnya.
Laporan dibuat jam 5.35 petang di Balai Polis Bukit Sentosa di sini, kelmarin bagi membolehkan polis menjalankan siasatan terhadap khatib terbabit yang juga seorang guru agama sebuah sekolah rendah di sini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Datuk Mohd Isa Abu Kasim dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Hulu Selangor, Mahmud Karim.

Wakil ahli kariah masjid terbabit, Sahak Azan, 52, berkata penduduk Islam di kawasan itu marah dan kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab khatib berkenaan yang boleh memecah belahkan perpaduan ahli kariah di kawasan itu.

“Kami amat marah kerana khatib terbabit cuba memutar belitkan fakta termasuk tidak mengiktiraf beberapa tokoh dan pejuang kemerdekaan seperti Tunku Abdul Rahman, Datuk Onn Jaafar dan Tun Abdul Razak Hussin yang berjasa kepada negara,” katanya kepada Sentral, kelmarin.

Beliau berkata, tindakan perlu diambil supaya kejadian sama tidak berulang.
Akhbar ini Sabtu lalu melaporkan khatib terbabit membaca khutbah Jumaat di hadapan kira-kira 3,000 jemaah di masjid itu, Jumaat lalu tanpa membaca teks disediakan JAIS sambil dengan berani menyokong pendirian Mat Sabu yang mendakwa komunis adalah pejuang kemerdekaan sebenar.

Sahak berkata, ahli kariah juga berharap jawatankuasa masjid berkenaan juga sentiasa peka dan sensitif dengan isu ini supaya tidak melakukan kesalahan sama demi perpaduan umat Islam dalam kariah ini.

Sementara itu, bekas ahli jawatankuasa (AJK) masjid berkenaan, Yaziz Yunus, berkata ahli kariah juga akan menghantar memorandum kepada Sultan Selangor dan JAIS berhubung tindakan khatib terbabit. 

No comments:

Post a Comment