Wednesday, September 14, 2011

Seludup dadah dalam sandal wanita gagal




M. Govinden (tengah) menunjukkan bungkusan bahan kristal dipercayai syabu yang dirampas daripada warga Afrika di KLIA pada sidang akhbar di KLIA, Sepang, semalam.


PUTRAJAYA 13 Sept. - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan cubaan menyeludup dadah bernilai RM915,000 melibatkan dua kes berasingan dalam tempoh seminggu.
Pengarah JKDM Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Datuk M. Govinden berkata, kes pertama membabitkan cubaan menyeludup bungkusan mengandungi syabu dan heroin ke Indonesia melalui perkhidmatan pos ekspres, Rabu lepas.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati bungkusan tersebut mengandungi tiga pasang sandal wanita yang pada tapaknya dilekatkan 397 gram syabu dan 211 gram heroin.
"Pengirim menggunakan alamat di Lot 133, Rumah Panjang, Jalan Pasir Ujung yang tidak wujud melalui pejabat pos di Banting dan mengisytiharkan bungkusan itu sebagai kiriman hadiah.
"Nilai keseluruhan dadah yang dirampas dalam kes itu RM140,000," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Govinden berkata, kes kedua pula melibatkan penahanan seorang lelaki warga Afrika berusia awal 30-an semalam yang cuba menyeludup masuk dadah ke negara ini.
Menurutnya, suspek ditahan sebaik sahaja tiba di KLIA dengan menaiki pesawat EgyptAir dari Kaherah sambil membawa satu beg bimbit berwarna coklat pukul 7.30 malam.
"Ketika diperiksa, beg yang dibawa suspek mencurigakan kerana kedua-dua bahagian dinding beg itu kelihatan agak tebal.
"Setelah dibuka dan diperiksa, setiap dinding beg itu menyembunyikan satu bungkusan dadah jenis syabu seberat 3.1 kilogram yang dianggarkan bernilai RM775,000," katanya.
Kata beliau, suspek kini direman selama seminggu mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.
Dalam perkembangan lain, pihaknya berjaya menumpaskan cubaan untuk menipu hasil kerajaan dengan mengelak cukai bernilai hampir RM170,000 menggunakan dokumen palsu dan mengikrar secara tidak benar.
"Pada 7 September pada pukul 1.30 pagi, sebuah lori yang membawa dagangan yang diikrarkan sebagai 100 karton penyegar udara kereta (membabitkan cukai 10 peratus) ditahan di Zon Perdagangan Bebas (FZC), KLIA.
"Pemeriksaan mendapati dagangan yang dibawa adalah 100 karton tembakau kunyah (Pan Parag) yang melibatkan duti import sebanyak lima peratus bagi setiap 50 kilogram dan 10 peratus cukai jualan," katanya.
Katanya, semua barang rampasan berkenaan disita dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(g) Akta Kastam 1967.

No comments:

Post a Comment