Friday, September 2, 2011

Kerajaan Australia malu

SYDNEY 1 Sept. – Kerajaan Australia hari ini cuba menyelamatkan dasarnya berhubung pencari suaka politik ke negara ini selepas Mahkamah Tinggi semalam membatalkan rancangan Canberra untuk menghantar ‘orang hanyut’ ke Malaysia.
Kerajaan kini perlu bersiap sedia untuk menghadapi lonjakan kemasukan orang hanyut yang dijangka mengeksploitasi keputusan mahkamah itu.
Perjanjian pertukaran pendatang antara Australia dengan Malaysia yang dibatalkan itu dirancang sebagai strategi utama Canberra untuk menyekat kemasukan beribu-ribu orang hanyut yang tiba di negara ini setiap tahun.
Keputusan mahkamah itu menandakan kekalahan memalukan bagi Perdana Menteri, Julia Gillard dan kerajaan Buruh pimpinannya yang telah memaparkan perjanjian tersebut sebagai strategi berkesan untuk membanteras kegiatan penyeludupan manusia.
“Kami akan mengkaji keputusan Mahkamah Tinggi ini tetapi tiada satu pun yang akan melemahkan tekad kami untuk menggagalkan model perniagaan penyeludup manusia,” kata Gillard dalam kenyataan ringkas mengenai isu itu.
Kabinet beliau dijangka bermesyuarat malam ini untuk membincangkan langkah berikutnya.
Mahkamah Tinggi semalam mendapati, mengikut undang-undang Australia, kerajaan tidak boleh menghantar pencari suaka untuk diproses di sebuah negara lain kecuali negara berkenaan berkewajipan memberi perlindungan sewajarnya kepada mereka.
Malaysia tidak menandatangani konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai pelarian dan pertubuhan hak asasi manusia telah menuduh Australia mengabaikan kewajipannya kepada pencari suaka dengan mahu menempatkan mereka di sebuah negara lain tanpa perlindungan sewajarnya.
Keputusan mahkamah itu boleh membawa implikasi lebih luas bagi pemprosesan pendatang di luar pesisir, termasuk rancangan Canberra untuk menghantar pencari suaka ke Papua New Guinea dan kemungkinan membuka semula sebuah pusat tahanan di pulau Nauru di Pasifik.
Penyeludup manusia dipercayai sudah bersedia untuk mengeksploitasi keputusan mahkamah itu, dan laporan beberapa akhbar tempatan menyebut, bot-bot bersiap sedia untuk berlepas dari Indonesia menuju ke Australia dalam beberapa hari akan datang.
“Lonjakan kemasukan orang hanyut akan berlaku dalam empat hingga lapan hari akan datang,” lapor akhbar Daily Telegraph dengan memetik sumber tentera laut.
Akhbar The Australia memetik pelarian di Malaysia sebagai meramalkan gelombang bot-bot orang hanyut akan berlepas dalam masa beberapa hari lagi. – Agensi, utusan

No comments:

Post a Comment