Sunday, September 11, 2011

Kes cerai tinggi musim Aidilfitri





2011/09/11

Belanja, ziarah raya punca krisis rumah tangga di Arab Saudi naik

JEDDAH: Perunding keluarga Arab Saudi mendedahkan kadar perceraian dikesan meningkat sepanjang musim cuti dan perayaan Aidilfitri tetapi pada masa sama menolak sebarang tanggapan bahawa pertelingkahan terhadap perbelanjaan Aidilfitri yang perlu dipersalahkan. 

Perunding perkahwinan, Muhammad Al-Ahmadi memberitahu akhbar Arab News, ada pelbagai sebab perceraian berlaku dan yang paling penting tentunya masalah kewangan pasangan terbabit.
Pertelingkahan yang membawa kepada perceraian membabitkan banyak sebab termasuk alasan remeh temeh seperti melawat rumah sanak saudara tanpa memberi makluman kepada pasangan, keluar rumah sepanjang perayaan Aidilfitri, tidak suka jenis makanan yang dihidangkan dalam perayaan dan tidak setuju membenarkan anak bermain di luar rumah, katanya.
Malah, ada juga cerita lucu di sebalik perceraian yang dilaporkan berlaku sepanjang musim perayaan Aidilfitri kali ini. 

Akhbar tempatan melaporkan, antara kes lucu termasuk seorang lelaki menceraikan dua isterinya kerana mereka menggesanya membelikan pakaian baru untuk perayaan. 

Satu lagi laporan menyebut seorang lelaki menceraikan isteri kerana wanita itu enggan mengikutnya menziarahi kakaknya, malah bertegas untuk ke rumah ibunya. 

Kajian mengenai kes cerai pasangan dijalankan Pusat Al Mawadah untuk Perundingan Keluarga mendapati ada banyak sebab lain menjadi punca dan bukan hanya mengenai perbelanjaan Aidilfitri. 
Menurut hasil kajian itu, separuh daripada responden tidak percaya pertelingkahan terhadap perbelanjaan Aidilfitri menyebabkan punca utama perceraian. 

Kira-kira 63 peratus pula tidak percaya bahawa Aidilfitri adalah perayaan untuk mengukuhkan ikatan kekeluargaan manakala 37 peratus lagi masih berpegang yang sambutan itu mampu menguatkan hubungan keluarga. - Agensi 

No comments:

Post a Comment