Wednesday, September 7, 2011

Khalid didakwa

SHAH ALAM: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dijangka dihadapkan ke Mahkamah Syariah Klang pada 24 November ini berhubung tindakannya menyampaikan ceramah agama di sebuah surau tanpa tauliah, bulan lalu.
Semalam, beliau hadir di pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kira-kira jam 10 pagi bertujuan memberi keterangan terhadap siasatan atas dakwaan itu yang dikatakan dilakukannya di sebuah surau di Taman Seri Sementa, Kapar, Klang, bulan lalu.

Penolong Pengarah, Unit Perhubungan Awam dan Penerbitan Jais, Nurhamizah Othman, berkata Ahli Parlimen Shah Alam itu dipanggil Bahagian Penguat Kuasa Jais untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan kes itu. Menurutnya, siasatan berkenaan masih dijalankan dan sedang dalam proses untuk dilengkapkan pihak Jais “Jais menerima aduan daripada orang ramai atas dakwaan Ahli Parlimen itu menyampaikan ceramah tanpa tauliah. “Pihak Jais memanggil beliau pada pagi ini (semalam) untuk memberikan keterangan berhubung dakwaan itu,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam. Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara mengenai Islam tanpa tauliah di bawah Seksyen 118 adalah melakukan kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Difahamkan, Khalid didakwa memberikan kuliah agama Islam tanpa permit ketika memberikan tazkirah Ramadan pada 16 Ogos lalu di surau Taman Seri Sementa.

Sementara itu, Khalid ketika dihubungi, berkata beliau tidak mengatakan tauliah penceramah tidak perlu, tetapi kehadirannya di surau berkenaan hanya mengadakan ceramah mengenai Islam saja. Menurutnya, selain memberikan keterangan, beliau dimaklumkan bahawa kesnya itu akan disebut di Mahkamah Syariah Klang pada 24 November ini.

“Memang saya hadir untuk berikan keterangan kepada Jais pagi ini (semalam) kerana didakwa memberi ceramah agama tanpa tauliah dan saya difahamkan kes ini akan didengar di Mahkamah Syariah Klang, 24 November ini,” katanya. Sementara itu, memetik akhbar dalam talian Pas, Harakahdaily, semalam, Khalid berkata, ketika tazkirah Ramadan itu beliau memang menyentuh peranan umat Islam dalam menguruskan hal ehwal agama di negeri ini.


Katanya, beliau ingin beritahu kepada hadirin keadilan Islam ini bukan kepada Islam saja bahkan kepada Yahudi, hatta berlawan dengan Khalifah Islam sendiri.

“Saya nak kaitkan, kita umat Islam kena dengar kedua-dua belah pihak dalam kes Jais siasat gereja ini bukan dari sebelah pihak dan membuat keputusan,” katanya.

No comments:

Post a Comment