Wednesday, September 7, 2011

Tiga beradik akhirnya jejak kaki ke sekolah




GELAGAT Norhidayah Mohd. Zaki (kanan) bersama Nordiana (tengah) dan Mohd. Alif (kiri) ketika mula bersekolah di Sekolah Kebangsaan Seri Budiman, Kuala Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 6 Sept. - Lazimnya mereka hanya memerhatikan rakan sebaya berulang-alik ke sekolah dan mendengar dengan asyik cerita-cerita yang disampaikan tentang apa yang dipelajari serta kegiatan yang dilakukan.
Hari ini, tiga beradik itu, Norhidayah Mohd. Zaki, 9, Nordiana, 8, dan Mohd. Alif, 7, mengalami sendiri apa yang selama ini hanya dapat mereka bayangkan daripada cerita-cerita rakan sebaya.
Ketiga-tiganya bangkit sejak awal pagi dan dengan perasaan teruja menyarung seragam sekolah baru dan menyandang beg menuju ke sekolah.
Selepas tidak dapat bersekolah selama ini ekoran ketiadaan surat beranak, impian tiga beradik dari Kampung Nibong Che Damak ini untuk belajar seperti kanak-kanak lain tercapai dengan bantuan Pergerakan Pemuda UMNO Kuala Terengganu.
Norhidayah membonceng motosikal bapanya, Mohd. Zaki Othman, 48, manakala ibu mereka, Rohani Ngah, 33, bersama adik-adiknya menaiki van yang disediakan oleh pergerakan itu ke Sekolah Kebangsaan Seri Budiman di sini.
Selepas proses pendaftaran selesai kira-kira pukul 9 pagi, tiga beradik itu ditempatkan di kelas yang sama iaitu kelas pemulihan bagi membolehkan mereka menguasai pembelajaran asas membaca, menulis dan mengira.
Norhidayah dilihat cukup teruja sehingga tidak lekang dengan senyuman ketika duduk dikelilingi rakan sekelas, Nordiana pula nampak agak tergamam manakala Mohd. Alif masih kekok dan takut-takut.
"Saya tak pandai membaca, menulis dan mengira, tetapi apabila sudah sekolah, saya boleh belajar. Apabila besar nanti saya mahu jadi doktor," kata Norhidayah yang sudah lama teringin bersekolah seperti rakan sekampung ketika ditemui di sekolah itu.
Rohani sebelum ini dilaporkan begitu resah memikirkan masa depan keluarga terutama anak-anaknya yang tiada sijil kelahiran termasuk Mohd. Syawal, 5.
Segala-galanya bermula pada tahun 2000 apabila pernikahannya dengan Mohd. Zaki, 48, tidak mendapat restu keluarga sehingga gagal memperoleh surat pengesahan nikah walaupun dikatakan telah berkahwin secara sah.
Kegagalan itu menyebabkan pasangan berkenaan membuat keputusan untuk 'berkahwin semula' pada 2005 untuk memperoleh sijil nikah dan memudahkan urusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara.
Justeru, apabila anak bongsu mereka, Nurul Fatihah, 3, dilahirkan, hanya kanak-kanak itu memperoleh sijil kelahiran.
Pasangan itu yang tidak mempunyai pekerjaan tetap mendakwa pernah mengeluarkan belanja menggunakan orang tengah bagi membantu mendapatkan sijil kelahiran tetapi tidak berhasil.
Bagaimanapun, menerusi bantuan Biro Aduan Pergerakan Pemuda UMNO, masalah yang dihadapi empat beradik itu telah dibawa ke pengetahuan JPN dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD). Akhirnya, mereka menerima sijil kelahiran pada 28 Ogos lalu.
Sementara itu, Rohani dengan nada terharu mengucapkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu mendapatkan sijil kelahiran untuk empat anaknya dan membantu menyekolahkan mereka.
"Saya rasa sangat beruntung dan ini hadiah paling besar dan bermakna, seolah-olah kami sudah bebas daripada bebanan besar selama ini," ujarnya.

No comments:

Post a Comment