MOGADISHU 6 Sept. - Para pemimpin Somalia hari ini dijadual menandatangani perjanjian untuk menubuhkan sebuah kerajaan baru, dan membubarkan pentadbiran berusia tujuh tahun yang gagal membawa keamanan di negara yang berpecah-belah ini.
Mereka membincangkan perjanjian politik baru yang mendapat sokongan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di ibu negara ini sejak tiga hari lalu.
Pemberontak al-Shabaab berundur dari Mogadishu pada bulan lalu setelah bertahun-tahun berjuang untuk menumbangkan kerajaan pusat.
"Persidangan penting ini adalah untuk meluluskan pelan bagi menamatkan tempoh peralihan kuasa di Somalia," kata wakil PBB ke Somalia, Augustine Mahiga dalam satu kenyataan lewat semalam.
Perjanjian tersebut adalah yang terbaru antara banyak percubaan untuk menamatkan perang saudara yang sudah berlarutan lebih dua dekad di Somalia.
Perbalahan politik berpanjangan dan pemberontakan militan al-Shabaab telah melemahkan Kerajaan Persekutuan Peralihan di Somalia, sehingga gagal menunaikan mandat utamanya bagi menyatupadukan negara ini, merangka Perlembagaan baru dan menganjurkan pilihan raya.
Perjanjian politik baru itu tertumpu kepada peningkatan tahap keselamatan di Mogadishu dan kawasan lain di selatan Somalia, perdamaian di seluruh negara, draf Perlembagaan, pembaharuan pentadbiran dan institusi.
Presiden Somalia, Sharif Sheikh Ahmed; Presiden wilayah pemisah Puntland, Ibrahim Mohamed Mahmud; pemimpin wilayah Gamudug di tengah negara ini dan para pemimpin militia prokerajaan, Ahlu Sunna Wal Jamaa dijadual menandatangani perjanjian itu.
Pelan tersebut akan dilaksanakan dalam tempoh setahun akan datang, selepas Sharif dan Speaker Parlimen pada Jun lalu bersetuju untuk melanjutkan penggal mereka selama setahun lagi. - AFP
No comments:
Post a Comment