2011/10/29
Jurucakap tentera gesa AS ubah pendekatan tangani keganasan
TABIAT Amerika Syarikat tidak mempedulikan negara sekutu atas kepentingan sendiri hanya menjejaskan usaha menentang pengganas di Pakistan dan Afghanistan.
Perkara itu disuarakan oleh jurucakap tentera Pakistan, Mejar Jeneral Athar Abbas kepada media Malaysia di pejabatnya di sini, merujuk kepada tindakan komando Amerika membunuh pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden serta operasi pesawat kawalan jauh di wilayah Pakistan.
Beliau juga menyindir Washington dengan berkata “jihad tidak berpunca dari Pakistan tetapi Amerika.”
“Tindakan ketenteraan saja bukan cara terbaik menangani keganasan. Maksud saya, apabila anda hanya tahu guna penukul, anda hanya nampak paku,” katanya.
Ketua Pengarah ISPR, agensi Perhubungan Awam Perisikan Pakistan, ISI, mengecam sikap Amerika yang bertindak sendirian meskipun mendapat kerjasama Pakistan bagi menangani militan di kawasan sempadan.
Abbas mengaku terkejut apabila diberitahu mengenai serbuan yang membawa kematian Osama, Mei lalu, kerana pemimpin al-Qaeda itu bersembunyi di Abbotabbad, 50 kilometer ke timur laut ibu negara, Islamabad.
“Sudah pasti saya terkejut. Dia (Osama) didapati berada di bandar itu. Tetapi, ia juga menimbulkan kemarahan kami kerana Amerika tidak memberitahu tentera Pakistan meskipun kedua-dua tentera ada kerjasama di medan konflik," katanya.
Abbas juga menyifatkan dasar Amerika terus menggunakan pesawat kawalan jauh untuk menyasarkan militan di kawasan sempadan Pakistan-Afghanistan hanya membawa kesan lebih buruk.
Tindakan itu selain mencabul kedaulatan wilayah Pakistan turut memberi sebab lebih kuat kepada penduduk tempatan membenci Amerika sekali gus menghasilkan lebih ramai militan.
“Kerajaan dan tentera Pakistan sepakat dalam isu ini. Ia memberi kesan lebih buruk dan tidak membantu.
“Dalam jangka masa panjang, membersihkan militan daripada hadir di kawasan tertentu bukan matlamat tunggal. Kami mahu membantu penduduk pulang ke rumah mereka dengan keyakinan tempat itu sudah aman.
“Matlamatnya ialah memulihkan keadaan, bukan hanya membunuh. Di kawasan yang sudah pulih, sokongan penduduk adalah faktor terbesar membantu kami.”
No comments:
Post a Comment