Saturday, October 29, 2011

RM4.66 juta bayar pencen terlebih



SHAH ALAM – Laporan Ketua Audit Negara 2010 mendedahkan sejumlah RM4.66 juta bayaran pencen dilaporkan terlebih bayar kepada pesara dan penerima pencen bagi tempoh 2007 hingga September 2010. 

Laporan itu menyebut, bagi tempoh 2007 hingga September 2010, didapati sejumlah RM2.57 juta bayaran pencen bulanan terlebih dibayar kepada 1,975 pesara atau penerima pencen yang telah meninggal dunia dan RM2.09 juta pula dibayar kepada 339 pesara atau penerima pencen yang masih hidup. 

“Bagi tempoh 2007 hingga September 2010, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM34.01 bilion untuk bayaran faedah persaraan dan faedah pemberhentian perkhidmatan termasuk Bayaran Istimewa Penerima Pencen (bayaran Imbuhan). 

“Menerusi jumlah itu, sejumlah RM31.48 bilion atau 92.60 peratus dibelanjakan,” katanya. 

Laporan sama menyebut, daripada jumlah RM2.57 juta bayaran pencen bulanan terlebih dibayar kepada 1,975 pesara dan penerima pencen telah meninggal dunia, sejumlah RM850,000 dapat dikutip balik daripada 985 waris. 

“Baki RM1.72 juta yang sepatutnya dituntut daripada 1,010 waris mendapati hanya RM390,000 sedang dikutip daripada 206 waris secara ansuran, manakala RM1.33 juta masih belum dapat dikutip balik disebabkan notis tuntutan tidak dapat diserahkan kepada waris sama ada mereka tidak dapat dikesan, telah berpindah ke tempat lain atau telah meninggal dunia. 

“Semakan Audit mendapati antara sebab pencen terlebih dibayar kerana status kematian tidak dikemaskinikan,” katanya. 

Katanya, Bahagian Pasca Perkhidmatan (BP) juga telah mengambil tindakan mengutip balik jumlah pencen terlebih dibayar secara ansuran melalui potongan sebahagian pencen bulanan yang diterima pesara atau penerima pencen yang masih hidup. 

“Lebihan bayaran tidak sewajarnya berlaku kerana proses kerja Pengurusan Bayaran Faedah Persaraan telah menerangkan dengan jelas tugas dan tanggungjawab setiap pegawai untuk menyemak, mengesahkan dan meluluskan sesuatu maklumat dimasukkan ke dalam sistem. 

“Bagi mempertingkatkan pengurusan bayaran pencen terlebih dibayar adalah disyorkan supaya BP melakukan siasatan atau analisis terhadap data dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang tidak dapat dipadamkan dan menghentikan bayaran pencen berkenaan jika penerima telah meninggal dunia. 

“Pegawai bertanggungjawab perlu memastikan maklumat dimasukkan ke dalam sistem tepat sebelum pengesahan dilakukan dan tindakan tegas harus diambil terhadap pegawai yang melakukan kesilapan termasuklah dikenakan surcaj selaras dengan Seksyen 18, Akta Tatacara Kewangan,” katanya.

No comments:

Post a Comment