Saturday, October 29, 2011

Siasat menteri bawa masuk Yahudi

Khairil Abdul Rahim   

TEMERLOH, 29 Okt: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendesak siasatan dijalankan bagaimana seorang peninju warga Israel, Ilya Grad yang mendakwa memasuki Malaysia dengan bantuan Menteri Belia dan Sukan untuk menyertai kejohanan The Challenger Muay Thai anjuran stesen TV AXN.
Serentak dengan itu, Tuan Ibrahim mendesak menteri tersebut juga disiasat dan digantung sementara jawatannya kerana menganggap ini satu jenayah keselamatan.
“Malaysia tidak pernah mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan rakyatnya diharamkan memasuki negara ini dan begitulah sebaliknya. Tetapi apabila menteri sendiri yang membawa masuk, ini satu jenayah kerana melibatkan pelanggaran dasar negara.
“Sebab itu kita desak satu siasatan bebas daripada kerajaan. Sementara itu Menteri Belia dan Sukan digantung jawatannya seperti dikenakan kepada Dr Aziz Bari dulu, supaya siasatan berjalan lancar,” katanya.
Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata demikian semasa berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Bilik Gerakan & Jentera Pilihan Raya PAS Dewan Undangan Negeri (Dun) Mentakab, di Bangau Tanjung, di sini pagi ini.
Beliau mengulas dakwaan bekas juara tinju Muay Thai Israel Ilya Grad, dalam blognya yang memasuki Malaysia sebelum ini untuk menyertai kejohanan The Challenger Muay Thai yang dirakamkan di dalam kampus Universiti Putra Malaysia, Serdang untuk stesen TV AXN.
Dalam satu tulisan di blog tinju Muay Thai Authority pada 15 Oktober, Grad menceritakan bahawa dia tidak sabar untuk mengibarkan bendera Israel ketika berada di Malaysia.
Beliau yang memasuki Malaysia melalui Thailand ditahan selama 25 jam di satu pintu masuk negara sebelum berjaya mendapatkan bantuan Persekutuan Muay Thai Malaysia, "dengan sokongan menteri sukan Malaysia."
Sesudah itu, barulah beliau mendapatkan dokumen yang diperlukan untuk memasuki Malaysia dengan pas khas, kerana pasport Israelnya tidak dicop, katanya di blog yang banyak memaparkan kegiatan dan pertandingan sukan itu.
Sementara itu dalam ucapan yang sama Tuan Ibrahim berkata, perubahan politik hampir pasti akan berlaku di negara ini kerana ia senario baru dan sedang melanda seluruh dunia.
Mengenai peluang Pakatan Rakyat (PR) di Pahang, beliau berkata tumpuan serangan BN terhadap negeri-negeri tertentu terutama di PR menyebabkan peluang PR cerah di Pahang.
“Dun Mentakab ini sendiri berpotensi besar untuk menang dengan kapasiti pengundinya 52 % Melayu dan 48 % bukan Melayu,” tambahnya.
Untuk memenangi pilihan raya, Tuan Ibrahim turut menasihatkan pendokong PAS agar melakukan kerja secara berstrategi, mengumpulkan dana yang mencukupi untuk gerak kerja dan seterusnya menjaga hubungan dengan Allah.
Turut berucap pada majlis tersebut, calon DAP Mentakab Lai Chee Meng.

No comments:

Post a Comment