Saturday, October 29, 2011

Terpaksa tukar nama bapa



KAMPUNG KUNDANG - Saudara baru Orang Asli, di sini, kecewa kerana terpaksa menukar nama bapa mereka kepada Abdullah sekiranya mahu tersenarai sebagai penerima wang zakat.

Salina Abdullah, 51, mendakwa, sebaik saja menganut agama Islam, dia dipaksa menukar nama asal bapanya, Bakar kepada Abdullah untuk memperoleh segala bentuk bantuan daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu (Muip) Pahang.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan kebanyakan Orang Asli di situ bimbang untuk memeluk agama Islam meskipun nama asal bapa mereka secara jelas menunjukkan nama Islam seperti yang tertera dalam kad pengenalan.

“Jika nama saya saja yang diubah tidak apa, tapi nama bapa turut diubah kepada Abdullah dan ini menyebabkan kami rasa terkilan demi untuk menerima sumbangan zakat,” katanya kepada Sinar Harian.

Salina yang menggunakan nama Lina Bakar sebelum memeluk Islam berkata, kebanyakan saudara baru di situ sudah menukar nama bapa mereka kepada Abdullah, namun ada yang masih menggunakan nama asal seperti dalam kad pengenalan.

“Jika nama bapa kami (saudara baru) seperti, Semut, Jari, Kari, Limpi, Ah Hong atau Ganesen mungkin kita terima jika ditukar kepada Abdullah, namun sungguh kecewa kerana nama bapa seperti orang Islam juga terpaksa digugurkan,” katanya.

Abdul Wahid Abdullah, 39, berkata, nama asalnya adalah Rani Hamid, tetapi dia didesak menukar namanya dan bapanya di dalam kad pengenalan sekiranya mahu menerima wang zakat.

Menurutnya, sebagai seorang saudara baru, mereka sememangnya layak menerima sumbangan, tetapi akibat nama tidak berbin atau berbintikan Abdullah, hak mereka sebagai saudara baru dinafikan.

“Kita minta supaya kesemua saudara baru yang memeluk Islam diberi hak menggunakan nama bapa masing-masing asalkan nama itu baik dan tidak membawa apa-apa maksud buruk,” katanya.

Nasimah Abdullah, 53, berkata, dia tidak ada masalah untuk menukar nama asal bapanya ‘Pak Safi’ kepada Abdullah kerana beranggapan pertukaran nama itu tidak menjejaskan hubungan dia dan bapanya.

“Biarlah kalau nak tukar nama bapa sekali pun, janji hubungan saya dan bapa takkan terputus, tetapi jika nama bapa Islam biarlah ia kekal dan jika sebaliknya nama itu seharusnya diubah supaya membawa maksud yang lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Muip, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, Muip tidak pernah sesekali meminggirkan mana-mana saudara baru selepas mereka memeluk Islam termasuk pemberian zakat kepada golongan berkenaan.

Katanya, meskipun nama saudara baru atau nama bapa mereka tidak sesuai dengan nama Islam, Muip tidak pernah meminggirkan mereka, sebaliknya bantuan zakat turut diberikan kepada asnaf berkenaan.

“Mungkin ada salah faham dan kekeliruan di sini, tapi saya jelaskan Muip tidak memaksa mana-mana saudara baru untuk menukar nama pemohon atau nama bapa mereka kepada Abdullah.

“Tetapi kita nasihatkan kepada mereka supaya menukar nama kepada yang lebih elok dan sesuai setelah memeluk Islam dan sekiranya nama mereka tidak sesuai sekali pun kita tetap beri bantuan,” katanya.

No comments:

Post a Comment