SIMPANG EMPAT - Kegagalan projek penghasilan minyak wangi bernilai hampir RM6 juta di bawah Kerajaan Negeri walaupun mendapat pelbagai bantuan kewangan Kerajaan Pusat dipersoalkan.

Timbalan Pesuruhjaya II Pas Perlis, Rus'sele Eizan berkata, projek anak syarikat Kerajaan Negeri, Perlis Essential Oil Sdn Bnd (PEO) di Beseri Jaya sejak 13 tahun lalu bukan sahaja tidak beroperasi, malah bangunan dan infrastruktur kilang yang dibina kini berstatus 'gajah putih'.

Berdasarkan maklumat, PEQ diwujudkan secara usahasama antara Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs), Mardi-Tech Sdn Bhd dan Mohd Murray Hunter pada 15 Mac 1997 untuk menguruskan projek menghasilkan minyak wangi daripada pokok T3.

"Bagi menjayakannya, PKENPs mengeluarkan modal RM470,000, Mardi-Tech Sdn Bhd (RM470,000) dan Mohd Murray Hunter (nilai kepakaran dan pengalaman menghasilkan minyak wangi dianggarkan bernilai RM420,000) dengan projek dikuasai Murray Hunter walaupun sahamnya bukan majoriti," katanya sewakt ditemui Sinar Harian di sini semalam.

Rus'sele yang juga Adun Simpang Empat berkata, objektif projek itu adalah untuk memajukan tanah yang dibeli seluas 16.16 hektar di Beseri Jaya selama lima tahun dan dijangka membawa pulangan jutaan ringgit menerusi pengeksportan minyak wangi untuk pasaran global.

Bagaimanapun, berdasarkan maklumat dalaman, nilai tanah yang dibeli PEO pada tahun 1997 bernilai RM794,737.36, jauh berbeza daripada nilai mengikut harga pasaran RM320,000 dan PKENPs dianggap kerugian RM473,000 daripada urus niaga itu.

Menurutnya, selain pelaburan RM1.36 juta, PEO mendapat geran Kerajaan Pusat RM4.14 juta selain dana RM650,000 daripada Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (kini Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan).

"Selepas penubuhan syarikat sehingga hari ini, ahli lembaga pengarah syarikat tidak pernah mengadakan sebarang mesyuarat walaupun sekal.

"Kerajaan Negeri diminta memberi penjelasan kepada rakyat mengenai kegagalan anak syarikatnya dan jika gagal, Pas akan menghantar memorandum bantahan kepada Menteri Besar," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar PKENPs, Kassim Zakaria ketika ditemui Sinar Harian enggan mengulas manakala Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu gagal dihubungi.