“Saya perkenalkan, inilah bakal Perdana Menteri Malaysia, Nurul Izzah Anwar....” kata Dr Abdul Aziz Bari ketika memperkenalkan anggota Parlimen Lembah Pantai dalam satu diskusi khas di Kelab Shah Alam malam tadi.
Pengumuman dan cara pengenalan itu telah mengejutkan para hadirin yang memenuhi dewan utama kelab itu malam tadi di majlis “Dr Dzul in person: A Night to remember” yang dituanrumahkan oleh Dr Dzulkefly Ahmad, anggota Parlimen Kuala Selangor.
Pengumuman bersahaja Dr Aziz Bari telah disambut dengan tepukan gemuruh para hadirin yang terdiri dari pelbagai peringkat masyarakat itu. Selain Nurul, turut menjadi penal bersama Dzulkefly adalah Tony Pua, anggota Parlimen Petaling Jaya Utara.
Turut berada di meja utama adalah Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Dr Ambiga Sreenevasan dan lain-lain personaliti yang hebat. Kenyataan Aziz Bari, Profesor Undang-Undang Perlembagaan, yang sedang dalam proses untuk meninggalkan Universiti Islam Antarabangsa ini dibuat ketika Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang menunggu keputusan perbicaraannya yang dijadualkan 9 Januari ini.
Ia nampak sepintas lalu dan mungkin untuk menyakat Nurul Izzah sahaja, tetapi option ini sememangnya dibincangkan secara meluas andaikata Anwar dipenjarakan selepas 9 Januari ini. Kenyataan sepintas lalu ini nampak memberikan kesan kepada Nurul Izzah sendiri di atas pentas di Kelab Shah Alam yang hebat itu.
Pada 17 Disember lalu, Raja Petra Kamarudin dalam Malaysia Today juga menulis hal ini.
“Ramai yang tidak bercakap lagi soal Anwar dipenjara atau tidak tetapi siapa yang akan mengambil alih jawatan pemimpin pembangkang, Pakatan Rakyat bila Anwar masuk penjara. Ada yang sudah bercakap bahawa Nurul Izzah adalah calon yang paling sesuai. Sudah tentu, ada yang berkata, Nurul Izzah hanya 31 tahun, masih terlalu muda. Tetapi semasa umur 30 tahun, Alexander the Great sudah menakluk hampir separuh dunia,” tulis Raja Petra.
Sebelum itu, pada 15 Disember lalu, seorang blogger, Hussein Abdul Hamid melalui blognya, steadyaku47 juga menembak perkara yang sama. Namun Hussein meletak Nurul Izzah sebagai Timbalan Perdana Menteri dahulu manakala pemimpin dari PAS diberikan jawatan PM.
Bagi Hussein, “Yes she is not ready. Yes she is inexperienced. Yes she has no business thinking that she can helm PKR and take the post of DPM at the same time – but this I know.”
Semua ini datang ketika Anwar sedang menghadapi hukuman penjara jika kes beliau kalah 9 Januari ini.
Ketika ini, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail adalah Presiden PKR. Namun, beliau tidak akan bertanding dalam PRU-13 ini kerana beliau tidak boleh berbuat demikian selepas meletakkan jawatan sebagai anggota Parlimen Permatang Pauh untuk memberikan laluan kepada Anwar. Timbalan Presiden PKR adalah Azmin Ali, anggota Parlimen Gombak. Namun kenyataan Azmin beliau akan merobohkan penjara bagi membebaskan Anwar jika dipenjara sedikit merosakkan imej beliau. Mungkin maksud Azmin akan membuat usaha terbaik untuk membebaskan Anwar.
Nurul Izzah adalah naib presiden PKR paling kanan ekoran kejayaan beliau mendapat undi tertinggi dalam pemilihan parti yang lalu.
Dengan kedudukan beliau sebagai anak sulung Anwar akan memudahkan keadaan. Selain mendapat sokongan ramai di dalam PKR dan Pakatan, Anwar sudah tentu perlukan seorang yang ada hubungan dengan beliau untuk meneruskan perjuangan beliau.
Kini Aziz Bari telah meletupkan hal ini di depan umum. Bola sudah mula bergolek, namun ke manakah arahnya, belum tahu lagi.
“The people know that Nurrul is the real deal… she just needs time to grow into the job. And time she has,” tulis Hussein Hamid.- Zukifli Sulong
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment