Miskin

PASIR PUTEH - Berat mata memandang berat lagi bahu memikul dan itulah yang dapat digambarkan apabila melihat kesusahan hidup keluarga Ahmad Mahmod, 57, dan isterinya, Ramlah Senik, 42, bersama sembilan anak mereka yang bergantung hidup dengan RM400 sebulan.

Penyakit tidak sedarkan diri yang dialami Ahmad dan Ramlah menyukarkan mereka berdua untuk keluar bekerja seperti mana ibu bapa lain.
Ahmad berkata, jika dia sihat dan penyakitnya tidak menyerang, setiap hari dia akan mengayuh basikal beberapa kilometer untuk mengambil upah menoreh getah di kampung berhampiran.
“Tetapi bukan setiap hari saya dapat bekerja kerana penyakit tidak sedarkan diri yang saya alami sering menyerang bila-bila masa sahaja sehingga kadangkala mendatangkan kesusahan kepada anak-anak dan isteri,” katanya kepada ketika ditemui di rumahnya di Kampung Merkang, Jalan Masjid di sini, semalam.
Menurutnya, disebabkan kesukaran untuk bekerja dia dan isteri hanya bergantung hidup dengan bantuan RM400 yang diberikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap bulan.
Ahmad berkata, untuk makan minum, keperluan sekolah, sakit dan semuanya hanya bergantung dengan duit berkenaan.
Dia berkata, disebabkan itu anaknya yang berumur antara 24 hingga 4 tahun sanggup mengikat perut jika tiada makanan ,” katanya.
Menurutnya, lima daripada sembilan anaknya masih bersekolah.
Ahmad berkata, bukan itu sahaja, kini ini mereka dalam dilema apabila rumah yang diduduki hasil belas ihsan saudara sudah mulai usang.
Dia berkata, kadangkala mereka anak beranak terpaksa tidur dalam kesejukan kerana bumbung rumah bocor.
“Bukan itu sahaja jika ribut kami sentiasa tidur dalam keadaan ketakutan. Saya berdoa supaya ada pihak yang dapat membantu,” katanya.
Ahmad berkata, mereka sekeluarga berharap jika ada pihak yang dapat membaiki rumah atau memberikan bantuan rumah.