Tarikh : December 21, 2011
SHAH ALAM - Jawatankuasa khas yang ditubuhkan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi menyiasat tindakan mahasiswanya, Adam Adli Abdul Halim pada kejadian Sabtu lalu, akan menyerahkan laporannya dalam masa terdekat.
Naib Canselor UPSI, Profesor Dr Zakaria Kasa berkata, pihaknya telah menubuhkan satu jawatankuasa yang dipengerusikan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Datuk Dr Junaidi Abu Bakar bagi menyiasat perkara sebenar berhubung kejadian tersebut.
Ia berhubung tindakan Adam Adli yang didakwa menurunkan bendera Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di perkarangan Pusat Dagangan Dunia Putera pada perhimpunan yang disertai Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) dan Solidariti Mahasiswa Malaysia.
Menurut Dr Zakaria, meskipun kejadian itu berlaku di luar kampus, siasatan secara terperinci perlu dilakukan memandangkan ia mencemarkan imej UPSI.
“Kertas siasatan itu telah disiapkan dan sedikit masa lagi akan diserahkan kepada Jawatankuasa Disiplin sebelum tindakan diambil terhadapnya. Bersalah atau tidak dan apakah hukuman yang dikenakan terhadapnya akan diketahui dalam masa terdekat,” katanya, semalam
Dr Zakaria berkata, sebarang hukuman mahupun tindakan yang bakal di sabitkan kepada Adam Adli kelak tidak dipengaruhi oleh desakan mana-mana pihak yang mahu beliau di gantung atau dibuang daripada UPSI.
“Disebabkan itu, siasatan terperinci dilakukan sebelum sebarang hukuman diambil. Keputusan itu tidak bermakna kami akur dengan tuntutan dan desakan pihak yang mahu Adam Adli dihukum,” katanya.
Mengulas tahap pencapaian akademik Adam Adli, Dr Zakaria berkata, beliau seorang pelajar yang sederhana dan tidak mempunyai masalah.
Menjawab berhubung jawatan Adam Adli sebagai Ketua Koordinator Legasi Mahasiswa Progresif UPSI, Dr Zakaria berkata, pertubuhan itu tidak diiktiraf dan berdaftar dengan Hal Ehwal Pelajar UPSI.
“Pertubuhan itu tidak pernah berdaftar sama sekali dan pergerakannya tidak diketahui,” katanya.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment