Tuan Ibrahim Tuan Man

SHAH ALAM- Pas menasihatkan ahlinya agar meneruskan 'permainan' hingga selesai perlawanan.

Ketua Penerangannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, isu yang melanda Pas sejak kebelakangan ini hanyalah 'kemuncup' dalam perjuangan.

"Kita mempunyai tugas dan kerja besar yang perlu dilakukan. Ibarat bermain bola, jangan sibuk mencabut kemuncup yang lekat di seluar atau stokin, sebaliknya teruskan permainan sehingga selesai perlawanan.

Tumpuan kepada usaha memenangi perlawanan menyebabkan kita tidak akan terasa adanya kemuncup di seluar dan stokin. Jangan leka mencabut kemuncup sehingga pintu gol terlopong tanpa penjaga," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Selain itu, Tuan Ibrahim berkata, ujian kepada ahli akan berlaku setiap hari tidak kira kecil atau besar. Namun, apa yang penting ialah jemaah perlu dipelihara, dijaga dan dimantapkan bagi meneruskan agenda yang menjadi kewajipan perjuangan Islam.

"Kita tidak perlu bimbang soal sesuatu dasar yang diputuskan, kerana kita ada Majlis Syura yang akan memandu agar semua keputusan tidak bercanggah dengan dasar Islam dan perjuangan parti.

Majlis Syura ialah badan penapis segala program parti, bahkan kesemua calon yang akan bertanding dalam mana-mana pilihan raya akan disahkan oleh Majlis Syura. Mekanisme ini tiada dalam mana- mana parti lain," katanya.

Jelasnya, sekiranya ada pihak yang mempertikaikan sesuatu yang menjadi dasar parti, maka ia seperti mempertikaikan keputusan syura, muktamar agung dan pendirian parti.

"Pas tidak pernah lari dari dasar perjuangan. Kita tetap dengan dasar yang sama yang telah termaktub dalam perlembangaan parti. Hal itu tidak perlu dipertikai lagi.

Apa yang berlaku ialah Pas telah membuat anjakan paradigma perjuangan, dengan pendekatan baru yang lebih terbuka dari sudut pendekatan bagi menterjemahkan realiti Islam sebagai 'rahmatal lil 'alamin' (rahmat untuk seluruh alam)," katanya.