Tarikh : December 5, 2011
SHAH ALAM - Jika Umno melakukan Sumpah Taat Setia bagi 'mengikat' ahlinya daripada mengkhianati calon yang bakal dipilih oleh pucuk pimpinan parti untuk bertanding pada pilihan raya akan datang, Pas pula melakukan Sumpah Bai'ah bagi memastikan calon yang menang tidak lompat parti.
Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ada tiga perkara dalam Sumpah Bai'ah yang perlu dipatuhi oleh calon Pas yang dipilih.
"Pertama, calon berjanji jika menang (dalam pilihan raya), dia tidak akan melompat atau keluar parti. Kedua, sekiranya keluar parti atau lompat parti, mereka mesti mengosongkan kerusi yang dimenangi kerana telah khianat kepada pengundi yang telah memilihnya daripada parti yang dia bertanding.
"Dan yang ketiga, sekiranya dia (calon) keluar parti atau lompat parti dan tidak mengosongkan kerusi, maka haramlah pendapatannya, elaunnya dan pencen yang diterimanya kerana dia tidak amanah kepada rakyat yang diwakilinya," kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian.
Bagaimanapun, Tuan Ibrahim berkata, tiga perkara tersebut ditetapkan bagi mengelak calon Pas yang menang tumbang di tangan Umno.
"Sebelum ini, ada usaha untuk membeli wakil rakyat kita (Pas) dengan menawarkan wang agar lompat parti. Jadi dengan cara ini, kita ikat calon dan mereka bersumpah atas nama Allah," katanya.
Jelasnya, sebelum lafaz sumpah dilakukan, taklimat terperinci akan diberikan supaya calon jelas dengan perkara yang ditetapkan.
"Sumpah Bai'ah dibuat setelah seseorang telah pasti dipilih sebagai calon. Yang melanggar sumpah ini berdosa dan wajib bayar kifarah sumpah," ujarnya.
Semalam, Tuan Ibrahim memberitahu sumpah antara Umno dan Pas begitu berbeza.
"Dalam Pas, kita lakukan Sumpah Bai'ah terhadap calon yang memenangi pilihan raya agar mereka tidak keluar atau lompat parti kerana mereka menang atas tiket Pas yang dipilih oleh rakyat. Sebaliknya, Umno melafazkan sumpah itu untuk tidak mengkhianati dan taat setia pada calon yang bakal dipilih oleh pucuk pimpinan parti untuk bertanding.
"Sumpah Umno ini lebih kepada pemilihan calon dan bukan dibuat kerana amanah yang diberikan oleh rakyat atau parti," katanya.
Pada Perhimpunan Agung Umno yang berakhir Sabtu lalu, sumpah taat setia yang diketuai oleh Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dilafazkan oleh semua perwakilan dan Ahli Majlis Tertinggi Umno
Antara kandungan lafaz ikrar taat setia ahli Umno ialah:
"Kami orang UMNO, berikrar untuk merapatkan saf perjuangan, mengeratkan ukhuwwah, menghapuskan sengketa, menghindari hasad dengki dan irihati dan meletakkan kepentingan parti mengatasi kepentingan peribadi.
Kami orang UMNO berjanji taat setia kepada parti dengan memberikan sepenuh kepercayaan dan sokongan padu kepada YAB Presiden untuk memimpin kita mencapai kemenangan besar dalam pilihanraya nanti.
Kami orang UMNO bersumpah untuk bekerja dengan gigih, tersusun dan teratur, berjihad dan berinfaq di jalan Allah s.w.t, bagi memastikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum ke-13.
Kami orang UMNO berikrar untuk memberikan sokongan padu dan tidak berbelah bahagi kepada calon-calon yang bakal dipilih oleh pucuk pimpinan parti untuk bertanding dalam pilihanraya nanti."
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment