Monday, December 5, 2011

Jalani persoal motif Zaleha

KUALA LUMPUR: Bekas jaguh badminton negara, Jalani Sidek, 48, mempersoalkan motif usahawan Datin Zaleha Mohd Khalid, 47, mengeluarkan kenyataan mengenai ‘hubungan istimewa’ mereka seperti mana didakwa Zaleha dalam sisipan Bi-Pop Berita Minggu, semalam.

Menghubungi Harian Metro, petang semalam, Jalani berkata, selama ini dia dan isterinya, produser filem Raja Azmi Raja Sulaiman sentiasa menghargai jasa serta nilai persahabatan Zaleha yang juga janda empat anak, sejak mereka berkenalan lebih setahun lalu.


“Buat masa ini saya enggan memberi komen panjang lebar mengenai kenyataan Zaleha dalam akhbar itu semalam. Ini kerana saya ingin menyiasat dulu apakah motif Zaleha mengeluarkan kenyataan yang mengejutkan itu. Ia tentu membuatkan hati isteri saya terguris.

“Memang saya akui kami rapat sebagai sahabat dan rakan bisnes, malah persahabatan ini disedari semua ahli keluarga kedua-dua pihak. Namun bagi Zaleha mengeluarkan kenyataan bahawa kami ada ‘hubungan istimewa’ adalah sangat mengejutkan.


“Apa yang boleh saya cakap sekarang, segala keputusan ada dalam tangan saya. Biarlah saya memikul tanggung jawab untuk menyelesaikan perkara ini dengan baik. Apa yang penting, saya amat menyayangi keluarga saya dan menghormati perasaan isteri saya,” kata Jalani.


Minggu lalu, Jalani dan Raja Azmi tampil membuat penafian di sebuah akhbar harian bahawa mereka sedang berdepan dengan kemelut rumah tangga malah mahu bercerai.

Gosip rumah tangga mereka itu dikatakan berpunca daripada penyebaran gambar mesra Jalani bersama Zaleha di Internet dan Raja Azmi sendiri mendakwa wujud pihak ketiga yang cuba mengganggu rumah tangganya itu. Antara gambar itu termasuklah yang dirakamkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang ketika Jalani, Zaleha bersama sekumpulan lagi rakan pulang daripada urusan tugas di Medan, Indonesia, Isnin lalu.


Dalam laporan Bi-Pop semalam, Zaleha dipetik sebagai berkata, dia dan Jalani saling menyayangi, tetapi mereka tidak sesekali mengenepikan Raja Azmi.

“Saya dan Jalani rapat, hubungan kami sampai ke tahap serius. Selain rakan kongsi, Jalani juga adalah penasihat syarikat saya, Kejuruteraan Lebar Cahaya Sdn Bhd yang mengendalikan projek kerajaan.


“Saya akui saya sering bersama Jalani, boleh dikatakan banyak masa saya dihabiskan dengan Jalani. Anak-anak, keluarga dan teman mengetahui hubungan kami, malah saya dan Jalani tidak pernah merahsiakan hubungan ini daripada pengetahuan Raja Azmi,” kata Zaleha.


Jalani juga berkata, buat masa ini dia menasihatkan Raja Azmi supaya tidak memberi sebarang komen mengenai kenyataan Zaleha itu dan meminta pihak media juga tidak mengganggu isterinya buat sementara waktu.


“Biarlah saya menyelesaikan perkara ini secara tertutup antara kami. Saya sebenarnya percaya ada dalang di luar sana yang cuba menghancurkan serta mengganggu rumah saya dan Raja Azmi,” kata Jalani dengan tegas.

myMetro | Jalani persoal motif Zaleha:

No comments:

Post a Comment