MELAKA: Seorang gadis berusia 27 tahun yang akan bernikah awal Januari ini, berada dalam dilema berikutan bapa kandungnya, Md Yunas Ismail, 50-an, gagal dikesan selepas berpisah dengan ibunya 24 tahun lalu.
Difahamkan, bapa kandungnya berasal dari Muar, Johor, bernikah dengan ibunya, Safiah Buman, 49, di Selatan Thailand, namun berpisah tiga tahun kemudian.
Mereka berpisah selepas ibunya mendapat tahu bapanya berkahwin lain dengan wanita ‘mualaf’ di Muar ketika usianya menjangkau tiga tahun, manakala adiknya masih dalam kandungan ibunya ketika itu.
Noor Rasiah, yang kini tinggal bersama ibu dan adik bongsunya, Suhaina, 24, di Taman Permatang Pasir Permai, Ujung Pasir, di sini, berkata, sejak itu bapanya tidak pulang ke rumah.
Menurutnya, dia amat berharap bapanya balik berikutan tarikh pernikahan yang semakin hampir dan jika sebaliknya, Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) terpaksa melantik wali hakim.
Katanya, dia tidak dapat mengecam wajah bapanya kerana ketika itu dia masih terlalu kecil selain keluarganya tiada menyimpan sebarang gambar bapanya.
“Kata ibu, rupa bapa saling tak tumpah Suhaina dan setiap kali merenung wajah adik pasti saya terbayang wajah bapa dan merinduinya.
“Pelbagai usaha dilakukan untuk mengesan dan mencari bapa, namun semuanya buntu,” katanya.
Noor Rasiah meminta sesiapa mengenali atau mengetahui di mana bapa kandungnya berada menghubunginya di talian 019-7914223.
“Meskipun tidak pernah bertemu dengannya, saya berharap bapa dapat mewalikan pernikahan saya,” katanya.
No comments:
Post a Comment