Tuesday, January 31, 2012

Tawaran bijak dari Ustaz Hadi


KURANG dari sebulan selepas Dato Seri Abdul Hadi Awang menyatakan pilihannya untuk jadi nelayan biasa apabila ada calon Perdana Menteri yang dapat memenuhi kehendak politik Islam, beliau menyampaikan pula hasratnya jika disetujui untuk melepaskan salah satu dari kerusi wakil rakyat yang disandangnya – ADUN atau Anggota Parlimen.

Ia adalah perkembangan fikiran yang bijak dari seorang pemimpin yang masih mendapat kepercayaan penuh dari parti yang dipimpinnya dan dari penyokong dan pengundinya.

Tugas wakil rakyat bagi dua kerusi yang disandangnya adalah berat baginya ditambah pula oleh tanggungjawabnya sebagai Presiden PAS yang kian berperanan. Sekali pun ia dilihat berat untuk menggalas semua kerja oleh seorang sepertinya yang usia kian bertambah dan masalah kesihatan juga ikut mengiring usia yang bertambah itu, tetapi semua tugas dan tanggungjawab tidak terbeban sangat baginya kerana ia dapat diringankan oleh kekuatan parti dan penyokongnya yang berfungsi.

Parti dan penyokongnya bertanggungjawab berada di belakangnya mahu melihatnya berjaya melaksanakan tugasnya dan mereka berperanan memastikan beliau berjaya dengan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat dan pemimpin parti Islam yang penting di rantau ASEAN.

Kekuataannya ialah dia bekerja secara berjamaah dan jamaah bekerja bersamanya. Sebagai pemimpin dan wakil rakyat beliau adalah simbol, dan kerjanya dibuyat oleh semua. Jika beliau kekal dengan dua kerusi itu, tidak banyak menambah beban jamaah dan jika dikosongkannya satu kerusi tidak pula mengurangkan kerja jamaah.

Tetapi dengan mengosongkan satu kerusi, ia adalah satu sikap tidak gila kuasa dan tidak sayang melepaskan kuasa serta tidak mahu memusatkan kuasa kepada satu orang.

Ia adalah tanda Ustaz Hadi percaya ada orang lain juga boleh membuat kerja seperti yang dibuatnya dan percaya ada orang yang boleh membuat apa yang sepatutnya dibuat oleh seorang wakil rakyat Islam, maka ketika itu beliau dapat membuat kerja lain.

Dengan Ustaz Hadi masih ada di rumahnya dan masih menjadi Presiden PAS, maka mana-mana kerusi yang dikosongkan tidak akan terasa ketiadaannya. Beliau tetap dirasakan berada di tengah mereka, cuma satu daripada kerjanya selama ini dibuat oleh orang lain.

Telah disebutkannya akan ada masa yang lebih baginya menumpukan tanggungjawab sebagai pemimpin parti dan ada peluang lebih masa untuk ke laut sebelum menjadi nelayan tetap.

Ke laut adalah hobinya. Menangkap ikan bukan sumber pendapatan dan mata pencariannya. Keutamaannya ada berdakwah. Bagi ulama berdakwah bukan satu mata pencarian. Abu Zar diberi pencen tetap sebagai sahabat awal generasi pertama oleh Khalifah Umar al-Khatab.

Tetapi Abu Zar tidak menjadikan pencennya sebagai sumber pencariannya. Saraan hidupnya adalah menganyam bakul. Logiknya Ustaz Hadi mahu beralih semasa masih bertenaga menjadikan hobi ke laut sebagai mata pencarian sambil terus berdawah.

Pilihannya itu adalah setelah memastikan Islam sudah dapat dijalankan oleh orang lain. Setelah lebih 40 tahun dalam dakwah politik tugas itu sudah boleh digalas oleh anggota jamaah yang ramai.

Parti boleh menimbang untuk menerima tawaran itu atau biar dulu. Yang penting Ustaz Hadi telah meringankan jamaah supaya memikirkan gantinya buat apa jawatan jua bila dirasakan perlu. Jamaah tidak lagi terikat bahawa calon adalah beliau juga. Beliau sekarang memberi peluang kepada jamaah, jangan teragak-agak untuk mencalonkan orang lain di salah satu kerusinya itu.

Dengan tawarannya itu tidak semestinya beliau tidak dicalonkan lagi, tetapi jika jamaah merasa wajar permintaannya diterima, maka boleh mencalonkan orang lain. Ia adalah kesempatan kepada jamaah memikirkan ganti Ustaz Hadi dalam semua kedudukan.

Apa yang disebut Ustaz Hadi itu satu permulaan bagi parti berfikir tentang pelapis. Politik di zaman Khalifah tidak bercakap tentang pelapis. Ganti khalifah dibuat apabila tiba masanya. Politik dunia demokrasi yang PAS ada dalam suasana itu, sekali pun politiknya adalah siasah syariyah, soal pelapis sentiasa menjadi perhatian penting.

Ustaz Hadi seperti mengajak semua berfikir ke arah itu. Ia perkembangan yang sihat.

No comments:

Post a Comment