rumah

SUNGAI SIPUT (U)Lima beradik di Kampung Veerasamy, di sini, terpaksa bergelap dan hidup tanpa bekalan air sejak lima tahun lalu akibat tidak mampu menampung kehidupan sendiri.

Mereka yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) kerana mengalami masalah mental tinggal di kawasan itu sejak sekian lama.

Adun Lintang, Datuk Ahamad Pakeh Adam berkata, keadaan lima beradik itu tidak terurus dan susah untuk mereka menjalankan urusan harian kerana tiada kemuda­han­ elektrik serta air.

Menurutnya, bagi melihat sendiri masalah keluarga itu, beliau membawa Menteri Besar, Datuk Zambry Abd Kadir melawat ke rumah berkenaan, di sini, kelmarin.

“Boleh dikatakan lima beradik berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun ini mengalami masalah dari segi mental.

“Keadaan mereka memang sangat teruk dan terpaksa menumpang di rumah jiran berhampiran untuk mandi atau membuang air,” katanya di sini.

Hadir sama, Ketua Umno Bahagian Sungai Siput, Datuk Mohd Dzulkifli Harun dan pemimpin masyarakat yang lain.

Ahamad berkata, sekiranya hujan, keadaan rumah itu bertambah teruk kerana bumbung rumah sudah banyak bocor dan dimasuki air tetapi mereka tiada tempat lain untuk dituju.

Sementara itu, beliau berkata, biarpun mempunyai masalah tapak, Kerajaan Negeri memberi jaminan untuk membantu keluarga ini termasuk membaik pulih rumah mereka.