Abdul Hadi Awang

SHAH ALAM - Penganalisis dan pemerhati melihat Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan terus kekal sebagai pemimpin berpengaruh dalam Pas walaupun tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan seterusnya kemungkinan melepaskan jawatan presiden parti Islam itu kelak.

Abdul Hadi mengekalkan jawatannya pada pemilihan Jun lalu tanpa cabaran. Beliau mengetuai Pas sejak 2002.

Mengulas perkembangan dalam Pas, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, beliau melihat Abdul Hadi akan kekal berpengaruh dalam partinya sebagaimana diperlihatkan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tidak dipilih oleh perwakilan.
"Presiden Pas (Abdul Hadi) ada pengaruh di kalangan akar umbi, akan kekal sebagai pemimpin berpengaruh berdasarkan latar belakang pendidikan agama.

"Nik Aziz tidak pegang jawatan, yang dipilih ketika muktamar," katanya sambil menjelaskan, Pas mempunyai kelainan berbanding parti-parti lain sebab wujud komponen Majlis Syura Ulama.

Mohd Asri, Felow Pusat Pengajian Islam Oxford mengulas perkembangan dalam Pas ekoran keputusan Abdul Hadi yang tidak berhasrat untuk bertanding lagi dalam pilihan raya umum.

Kini, Abdul Hadi merupakan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Jawatankuasa kerja Pas pusat yang bermesyuarat 12 Februari ini akan membincangjkan tawaran Abdul Hadi tidak mahu bertanding lagi.

Seorang penganalisis politik, Prof Dr Abdul Aziz Bari pula menyifatkan keputusan Abdul Hadi sebagai satu langkah positif yang harus diperlihatkan oleh ahli-ahli politik.

"Saya melihat ia langkah positif, memberi laluan kepada barisan muda, khususnya di peringkat negeri (Terengganu)," kata bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) ini yang disebut-sebut akan bertanding dalam PRU13.

Abdu Aziz melihatkan keputusan Abdul Hadi akan memberi kesan dalam usaha parti itu menyusun kedudukan untuk kembali memimpin kerajaan negeri Terengganu.

Pas memerintah Terengganu antara 1999 dan 2004.

Penganalisis juga melihat keputusan Abdul Hadi akan memberi laluan kepada kemunculan calon-calon muda untuk mengetuai barisan cabaran di peringkat negeri pantai timur itu.

"Mungkin ini satu langkah yang mengkukuhkan Pas di Terengganu, keputusan Abdul Hadi akan memberi kesan ke atas caturan calon yang akan dipilih oleh Pas di Terengganu," katanya lagi.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian melihat tawaran Abdul Hadi akan membawa persepsi bahawa Pas semakin kekurangan pemimpin kalangan ulama, antara isu yang ditimbulkan selepas pemilihan parti itu Jun lalu.