Tuesday, January 31, 2012

Rumah wakaf: Doktor nafi dakwaan MAIS


SHAH ALAM 30 Jan. - Seorang doktor yang mewakafkan 26 buah rumah teres di Desa Fahmi Kapar, Klang dekat sini menafikan dakwaan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) kononnya kesemua rumah berkenaan tidak selamat untuk didiami.

Dr. Kamarolzaman Hajar berkata, alasan MAIS itu tidak berasas kerana kesemua rumah berkenaan dibina mengikut prosedur yang ditetapkan dengan menggunakan khidmat arkitek serta kontraktor berdaftar.

Malah, katanya, selepas kesemua rumah berkenaan siap sepenuhnya pada 2000, ia siap dilengkapi kemudahan elektrik dan air selain dipasangkan pagar untuk keselamatan penghuninya.

''Saya tidak faham apa yang MAIS maksudkan sebagai rumah yang tidak selamat diduduki sedangkan semua prosedur dan aspek keselamatan telah saya ikuti sebelum diwakaf dan diserahkan dalam keadaan sempurna kepada MAIS.

''Kenyataan MAIS yang mendakwa ia tidak selamat diduduki itu seperti menuding jari kepada saya seolah-olah saya mewakafkan rumah yang tidak sempurna dan berada dalam keadaan yang tidak baik," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sabtu lalu, Utusan Malaysia melaporkan mengenai kekecewaan Dr. Kamarolzaman terhadap MAIS kerana agensi agama itu tidak memanfaatkan kesemua unit rumah teres yang telah diwakafkan pada 2006.

Lebih menyedihkan Dr. Kamarolzaman apabila kesemua rumah teres yang dibina di atas tanah berukuran 0.6 hektar itu berada dalam keadaan yang sangat teruk kerana tidak diselenggara dengan baik oleh MAIS yang diamanahkan untuk menjaga hartanah tersebut.

MAIS bagaimanapun menjelaskan, kesemua rumah teres berkenaan dikosongkan awal tahun ini dengan memberi alasan ia tidak selamat untuk didiami.

Setiausaha MAIS, Mohd. Haniff Hassan berkata, langkah pengosongan rumah-rumah tersebut bagi membolehkan kerja penyenggaraan dibuat berperingkat-peringkat selepas siasatan mendapati pembinaannya tidak menepati spesifikasi pihak berkuasa tempatan (PBT).

Kamarolzaman berkata, sehingga hari ini MAIS tidak ada menghubunginya bagi membincangkan mengenai masalah yang dihadapi itu.

Menurutnya, dia telah menghubungi pihak Istana untuk menetapkan tarikh sesuai bagi menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk memaklumkan kepada baginda sebagai ketua agama di negeri ini mengenai perkara tersebut.

''Alhamdulillah, respons yang saya terima daripada pihak istana setakat ini positif dan telah memaklumkan kepada mereka untuk mengadap Tuanku secepat mungkin," jelasnya.

No comments:

Post a Comment