Friday, January 20, 2012

'Ah Jib Gor' beri 'angpau' RM2.5 juta kepada SMJK Chong Hwa Jalan Gombak





2012/01/20

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.5 juta kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chong Hwa Jalan Gombak di sini untuk pembinaan bangunan baru sekolah berkenaan.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sudah pun meluluskan model pembangunan projek tersebut dan peruntukan yang diberikan adalah sebahagian daripada peruntukan Belanjawan 2012 bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina.
"Sebagai brother... Ah Jib Gor, saya nak beri angpau kepada sekolah ini. Ini sumbangan ikhlas kepada rakyat," katanya semasa melawat sekolah berkenaan dalam program turun padangnya ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini.
Mengenai laman sosial Facebook bahasa Cinanya 'Ah Jib Gor' yang bermaksud 'Abang Najib' yang dilancarkan tiga hari lalu, Najib berkata laman sosial itu sudah menarik kira-kira 12,000 pengikut dan beliau berharap jumlah pengikut laman sosial itu akan bertambah.

Najib yang menyifatkan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chong Hwa itu sebagai sekolah yang baik tetapi memiliki bangunan yang lama, berkata sumbangan yang diberikan kepada sekolah berkenaan akan turut mendapat pelepasan cukai.

Terdahulu, Najib berkata sekiranya ekonomi negara berkembang lima hingga enam peratus setiap tahun, Malaysia akan mencapai taraf negara maju dalam tempoh lima hingga enam tahun lagi. 

"Apabila mencapai taraf berkenaan, semua rakyat, secara langsung atau tidak, akan mendapat faedah dan nikmat daripada perubahan besar yang berlaku kepada negara," katanya. 
Perdana Menteri berkata, limpahan itu boleh dilihat antaranya daripada segi kenaikan gaji penjawat awam, pekebun kecil menikmati harga yang tinggi daripada hasil kelapa sawit serta getah dan bagi sektor perniagaan.

Beliau berkata, apabila kerajaan mentadbir dengan baik dan negara dalam keadaan aman dan harmoni, ekonomi akan dapat berkembang secara positif.

"Sebab itulah kita mesti yakin dengan usaha kerajaan, transformasi dengan sokongan rakyat pasti akan berjaya. Janganlah perjudikan masa depan kita dan kerajaan yang ada terbukti mampu melakukan transformasi," katanya.

Perdana Menteri turut mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina dengan harapan Tahun Naga ini akan mencetuskan kejayaan kepada kira-kira 1,000 pelajar yang hadir pada majlis berkenaan. 

"Tahun Naga tahun baik untuk pilihan raya...atau pun (pilihan raya) tahun depan," katanya. 

Turut hadir ialah Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, dan Pengerusi Lembaga Pengelola SMJK Chong Hwa, Datuk Lim King Hoo. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment